Saturday, October 24, 2009

Turki ‘Dikelubungi’ Isu Tudung

TUDUNG Turki memang memikat - dari segi aneka corak dan warnanya yang menarik. Ramai kaum wanitanya yang bertudung menurut syariat agama atau sekadar ikut fesyen saja. Bagaimanapun, tudung Turki lebih hebat kerana signifikan politiknya di negara yang mempunyai penduduk majoritinya beragama Islam.

Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan membuat kenyataan pada penghujung Ogos 2007 lalu, menyatakan hasrat pemerintah untuk menarik balik pengharaman pemakaian tudung di seluruh universiti di negara itu.

Pengharaman bertudung di kampus dikuatkuasakan lebih 20 tahun lalu sejurus rampasan kuasa oleh pihak tentera pada awal 1980-an. Menurut tentera, tujuannya menyekat kebangkitan gerakan Islamik yang mengancam dasar sekularisme Turki warisan Mustaffa Kamal Ataturk.

Maka, Perlembagaan dipinda untuk melarang wanita memakai tudung di sektor awam seperti sekolah dan hospital.

Apa dikhuatiri pada tudung?

“Tudung adalah satu simbol politik,” demikian hujah Profesor Nilufer Narli, ketua jabatan sosiologi Universiti Bahcesehir. Beliau merupakan antara ribuan warga Turki yang membantah pencalonan awal Abdullah Gul sebagai Presiden Mei lalu.

Alasannya? Selain imej Gul yang condong Islamik, hakikat isteri beliau memakai tudung telah juga dijadikan isu besar. Jika Gul menang (kini sudah pun menjadi Presiden), isteri beliau akan menjadi Wanita Pertama yang pertama memakai tudung dalam sejarah moden Turki selepas tumbangnya pemerintahan kekhalifahan Uthmaniah.

Golongan sekularis atau penyokong falsafah perjuangan Ataturk dicengkam bimbang. Bak kata Profesor Narli, mereka khuatir jika Wanita Pertama memakai tudung; ini bak bagi betis hendak paha.

Suara demikian bukanlah baru, namun faktanya bercanggah dengan realiti semasa di Turki. Tinjauan oleh Yayasan Pengajian Ekonomi dan Sosial Turki menunjukkan sekitar 62 peratus atau dua bagi setiap tiga wanita Turki itu bertudung saban hari.

Seorang wartawan BBC menulis kilasan berikut dalam BBC News:

“Terdapat satu gambaran sekilas Turki moden: Dua wanita berjalan seiring di Jalan Istiqlal di Istanbul, seorang berbaju labuh dan bertudung, dan seorang lagi berbaju pendek sendat, dengan rambutnya menggerbang. Tetapi, apabila ke universiti, baik universiti awam mahupun universiti swasta, tidak kelihatan seorang pun yang bertudung. Tiada Anggota Parlimen wanita yang bertudung di parlimen dan wanita yang memakai tudung sengaja dipotong namanya daripada senarai para undangan ke jamuan Hari Republik di istana presiden di Ankara.”

Beberapa pihak berpendapat kenyataan terbaru Erdogan bak menjolok sarang tebuan. Erdogan macam sengaja menguji ketahanan pemerintahan Parti AK pimpinannya dalam menghadapi golongan sekular, terutamanya tentera.

Tekanan sudah pun dirasakan dalam kempen awal pencalonan Abdullah Gul dahulu. Pencalonan itu dibantah menerusi satu tunjuk perasaan besar-besaran daripada golongan pemuja Ataturk dengan didalangi Persatuan Pemikiran Ataturk (Ataturk Thought Association, ringkasnya ADD). Pihak tentera menggunakan helah tunjuk perasaan itu dengan mengancam akan campur tangan jika keadaan menjadi buruk.

Para panglima tentera menjadi panik apabila pencalonan awal Gul dipersetujui parlimen pada 27 April. Tentera telah mengeluarkan kata dua akan bertindak tegas sebagai ´pelindung mutlak sekularisme´. Ini disusuli tunjuk perasaan besar, diikuti kemudiannya keputusan Mahkamah Perlembagaan yang mengisytiharkan pengundian di parlimen pada 27 April itu tidak sah.

Tekanan kuat golongan sekular dan tentera itu memaksa pemerintahan Erdogan untuk melekaskan tarikh pilihan raya umum kepada 22 Julai yang memberikan Parti Keadilan dan Pembangunan (atau singkatannya, AK) mandat baru yang besar.

Dengan mandat tersebut, Abdullah Gul dengan mudah dipilih parlimen sebagai presiden baru pada 28 Ogos. Sekali gus isterinya yang bertudung menjadi Wanita Pertama yang menyeri majlis negara.

Kemenangan itu bagaimanapun tidak pula membuat Erdogan memandang ringan ancaman pihak tentera. Harus diingat, tentera Turki merupakan angkatan yang kedua terbesar dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) dan sudah menggulingkan empat pemerintah awam Turki sepanjang setengah abad dengan kali terakhir 10 tahun yang lalu.
Bagaimanapun, Erdogan terbukti seorang ahli strategi dengan mengambil kira beberapa faktor yang menyebelahinya.

Pertama, kemenangan besar Parti AK dalam pilihan raya umum menggambarkan sokongan rakyat kepada manifesto parti itu yang mahu memulihkan hak asasi individu dan kebebasan demokrasi menerusi penyusunan semula sebuah perlembagaan yang memenuhi aspirasi rakyat.

Kedua, tiada sebarang bukti yang boleh menunjukkan Erdogan dan Parti AK telah mencabul teras sekularisme di Turki. Malah beliau telah secara terbuka beberapa kali menyatakan sikapnya menerima sekularisme di Turki.

Ketiga, kedua-duanya - Erdogan dan Abdullah Gul lebih menegaskan dasar pemerintahan untuk mengembalikan hak asasi rakyat dalam sebuah negara demokrasi. Tiada sentimen agama yang dilahirkan dalam menyatakan hasrat untuk menarik balik pengharaman ke atas pemakaian tudung di kampus.

Menurut Erdogan, “Kita bercakap tentang kebebasan.”

Beliau menghujahkan: “Hak ke pengajian tinggi tidak boleh dibataskan kerana seseorang wanita itu bertudung. Tiada sebarang masalah begini dalam masyarakat Barat, tetapi ini satu masalah di Turki. Saya percaya tugas pertama ahli-ahli politik ialah menghuraikan masalah ini.”

Presiden Abdullah Gul sendiri menyokong rancangan pemerintah itu sambil menegaskan: “Adalah lebih baik (bagi wanita yang bertudung) keluar belajar di universiti daripada tinggal di rumah dan terputus daripada kehidupan sosial.”

Isu kebebasan bertudung bukan saja telah menghalang penyertaan wanita Turki dalam sektor awam, bahkan menimbulkan kesan sosioekonomi yang merugikan negara. Contohnya, wanita yang tidak bersedia meninggalkan kebiasaannya bertudung akan tersekat laluan ke universiti tempatan. Golongan profesional wanita yang bertudung pula terpaksa bekerja di luar negara ataupun di sektor yang tiada larangan bertudung.

Kejayaan golongan Islamik akan bergantung pada faktor dalaman dan luaran. Ia perlu hati-hati dengan risiko kemarahan pihak sekular dan pemuja falsafah Ataturk atau ‘laicisme’ Turki.

Setakat ini, pemerintah Parti AK telah berhasil membawa kemajuan ekonomi dengan kadar inflasi yang semakin rendah dan kadar pelaburan asing yang semakin meningkat.

Jadi, golongan Islamis tidak harus bersikap terlalu yakin (over confidence). Mentelah dalam rangka Turki ingin menjadi anggota Kesatuan Eropah (EU), telah ada keputusan Mahkamah Hak Asasi Eropah yang memutuskan bahawa pengharaman bertudung di menara gading Turki itu tidak bercanggah dengan kebebasan asasi, malah diperlukan demi melindungi aturan sosial negara Turki berhadapan golongan ekstremis.

Nampaknya, sejauh ini, laluan inilah yang menjadi pilihan pemerintah Erdogan yang berkata:

“Kami mahukan Perlembagaan yang dapat memberi perlindungan serta jaminan yang negara ini berlandaskan undang-undang demokratik, sekular dan kepentingan sosial. Perlembagaan ini bakal meletakkan Turki di laluan sebenar dan sudah menjadi kewajipan kita membahaskannya serta membincangkan dengan seberapa ramai rakyat.”

Kata-kata demikian, meskipun membayangkan sikap berwaspada terhadap kemungkinan campur tangan pihak tentera termasuk rampasan kuasa, mempunyai tarikan sendiri dalam memenangi sokongan masyarakat antarabangsa, terutamanya EU.

Kata-kata seperti ´mengembalikan hak asasi individu´, ´Perlembagaan yang ´berlandaskan undang-undang demokratik, sekular dan kepentingan sosial´, serta hasrat mahu ´membahaskannya serta membincangkannya dengan seberapa ramai rakyat´ dilihat selari dengan syarat-syarat yang dikenakan Kesatuan Eropah sendiri.

Kisah tudung Turki masih belum reda bagi sebuah negara majoriti Islam yang berada di persimpangan di antara Timur/Asia dan Barat/Eropah. Apakah negara yang dikenali ‘Negara Dua Benua’ ini akan lemas dikelubungi isu tudung?

No comments: