Sunday, December 5, 2010

tatapan hati versi 4

SEBUAH IKATAN SUCI,..MENGENALI DIRI UNTUK DIDEKATI,..MENGHAMPIRI DIRIMU UNTUK DISAYANGI,..MEMAHAMI DIRIMU UNTUK DIHARGAI,..MENGHORMATI DIRIMU UNTUKKU MELINDUNGI,..MENERIMAMU SEBAGAI SAHABAT DISISI,..HANYA SAHABAT,..NEKADKU DIHATI...MOGA TERLINGDUNG HATIKU MENGERTI..KAU SAHABAT DUNIA AKHIRI




#....pengalaman mengajar kita untuk hidup.....mendewasakan diri..menjadi lelaki sejati yang hanya tunduk pada takdir Ilahi...menyerahkan setiap usaha,doa,tawakkal kepadanya untuk menentukan jodoh pertemuan, maut yang mendatang...hanya padaNYA.....#

Tuesday, November 30, 2010

Kelebihan Berbakti Kepda Ibu bapa


Alhamdulillah, segala puji hanya bagi Allah yang telah mengurniakan pelbagai nikmat kepada kita. Selawat dan salam buat junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW yang telah bersusah payah dalam menyampaikan agama Allah kepada seluruh alam.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Israa' ayat 23 yang bermaksud:

Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha" dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).

Kali ini penulis ingin membawakan satu kisah yang menceritakan kelebihan berbuat baik kepada ibu bapa. Kisah ini berlaku pada zaman Nabi Sulaiman Alaihissalam.

Pada suatu hari Nabi Allah Sulaiman telah menerima wahyu daripada Allah supaya pergi ke tepi pantai untuk menyaksikan suatu benda yang ajaib yang akan ditunjukkan kepada Nabi Sulaiman. Setelah bersiap sedia, Nabi Sulaiman berangkat ke tepi pantai yang di nyatakan di dalam wahyu. Baginda di iringi oleh kaum jin, manusia dan binatang.

Setibanya di pantai, Nabi Sulaiman terus mengintai-ngintai untuk mencari sesuatu seperti yang dikatakan oleh Allah. Setelah lama mencari ,baginda belum lagi menjumpai apa-apa. Kata salah seorang daripada mereka "Mungkin tersalah tempat". Tetapi baginda menjawab "Tidak, di sinilah tempatnya". Nabi Sulaiman mengarahkan Jin Ifrit supaya menyelam ke dalam laut untuk meninjau apa-apa yang pelik atau ajaib. Jin Ifrit menyelam agak lama juga barulah ia kembali kepada Nabi Sulaiman dan memaklumkan bahawa dia tidak menjumpai apa-apa benda yang ajaib. Tanya Nabi Sulaiman "Apakah kamu menyelam sehingga dasar laut" Jawab Jin Ifrit "Tidak". Nabi Sulaiman pun mengarahkan Jin Ifrit yang kedua supaya menyelam sehingga ke dasar laut. Setelah puas menyelam dan mencari benda-benda yang di katakan oleh Nabi Sulaiman, Jin Ifrit yang kedua juga tidak menjumpai apa-apa yang ajaib dan ia melaporkan kepada Nabi Sulaiman.

Perdana Menterinya yang bernama Asif bin Barkhiya telah berbisik ke telinga Nabi Sulaiman dan memohon kebenaran untuk menolongnya. Setelah mendapat izin Nabi Sulaiman, dia membaca sesuatu dan terus menyelam ke dalam laut. Tidak lama kemudian Asif menjumpai sebuah kubah yang sangat cantik. Kubah tersebut mempunyai empat penjuru, setiap penjuru mempunyai pintu. Pintu pertama diperbuat daripada mutiara, pintu kedua diperbuat daripada zamrud berwarna merah, pintu ketiga diperbuat daripada jauhar dan pintu keempat diperbuat daripada zabarjad. Pintu-pintu tersebut terbuka luas, tetapi yang peliknya air tidak masuk ke dalam kubah tersebut walaupun pintunya terbuka luas.

Dengan kuasa yang diberikan oleh Allah, Asif dapat membawa kubah tersebut naik ke darat dan diletakkan di hadapan Nabi Sulaiman. Nabi Sulaiman melihat kubah tersebut dengan penuh takjub di atas kebesaran Allah. Baginda berangkat untuk melihat kubah tersebut, setelah menjenguk ke dalam di dapati ada seorang pemuda berada di dalamnya. Pemuda tersebut masih belum sedar walaupun kubahnya telah diangkat ke darat kerana asyik bermunajat kepada Allah. Nabi Sulaiman memberi salam kepada pemuda tersebut. Pemuda tersebut menyambut salam dengan perasaan terkejutnya apabila melihat orang ramai sedang berada di situ. Nabi Sulaiman memperkenalkan dirinya kepada pemuda itu bahawa beliau adalah Nabi Allah Sulaiman. Pemuda itu bertanya "Dari manakan mereka ini dan bagaimana mereka datang?". Pemuda itu merasa hairan dan setelah menjenguk keluar dia mendapati bahawa kubahnya telah berada di darat. Nabi Sulaiman memberitahu pemuda itu bahawa mereka datang kerana diperintahkan oleh Allah untuk melihat keajaiban yang dikurniakan Allah kepadanya.

Setelah mendapat izin dari pemuda itu Nabi Sulaiman meninjau ke dalamnya untuk melihat benda yang ajaib yang dihiasi di dalamnya. Keindahan yang terdapat di dalam kubah itu sungguh menakjubkan. Nabi Sulaiman bertanya kepada pemuda tersebut bagaimana dia boleh berada di dalam kubah ini yang terletak di dasar laut. Pemuda tersebut menceritakan bahawa dia telah berkhidmat kepada kedua ibu bapanya selama 70 tahun. Bapanya seorang yang lumpuh manakala ibunya pula seorang yang buta. Suatu hari ketika ibunya hendak meninggal dunia, ibunya memanggilnya dan memaklumkan bahawa ibunya telah rela di atas khidmat yang diberikan olehnya. Ibunya berdoa kepada Allah supaya anaknya dipanjangkan umur dan sentiasa taat kepada Allah. Setelah ibunya meninggal dunia, tidak lama kemudian bapanya pula meninggal dunia. Sebelum bapanya meninggal dunia, bapanya juga telah memanggilnya dan memaklumkan bahawa dia juga telah rela di atas khidmat yang diberikan olehnya. Bapanya telah berdoa sebelum meninggal dunia supaya anaknya di letakkan di suatu tempat yang tidak dapat diganggu oleh syaitan.

Doa kedua dua orang tuanya telah dimakbulkan oleh Allah. Pada suatu hari ketika pemuda tersebut bersiar-siar di tepi pantai ia terlihat sebuah kubah yang sedang terapung-apung di tepi pantai. Ketika pemuda tadi menghampiri kubah tersebut .

Ada suara menyeru supaya pemuda itu masuk ke dalam kubah tersebut. Sebaik sahaja ia masuk kubah dan meninjau di dalamnya tiba-tiba ia bergerak dengan pantas dan tenggelam ke dasar laut. Tidak lama kemudian muncul satu lembaga seraya memperkenalkan bahawa dia adalah malaikat yang di utuskan Allah. Malaikat itu memaklumkan bahawa kubah itu adalah kurniaan Allah kerana khidmatnya kepada orang tuannya dan beliau boleh tinggal di dalamnya selama mana dia suka, segala makan dan minum akan dihidangkan pada bila-bila masa ia memerlukannya. Malaikat itu memaklumkan bahawa dia diperintahkan Allah untuk membawa kubah tersebut ke dasar laut. Semenjak dari itu pemuda tersebut terus bermunajat kepada Allah sehingga hari ini.

Nabi Sulaiman bertanya kepada pemuda itu "Berapa lamakah kamu berada di dalam kubah ini" Pemuda itu menjawab "Saya tidak menghitungnya tetapi ia mula memasukinya semasa pemerintahan Nabi Allah Ibrahim a.s lagi". Nabi Sulaiman menghitung ". Ini bermakna kamu telah berada di dalam kubah ini selama dua ribu empat ratus tahun". Nabi Sulaiman berkata "Rupa mu tidak berubah malah sentiasa muda walaupun sudah dua ribu empat ratus tahun lamanya". Nabi Sulaiman bertanya pemuda itu samada dia mahu pulang bersamanya". Jawab pemuda tadi "Nikmat apa lagi yang harus aku pinta selain daripada nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada ku ini". Nabi Sulaiman bertanya"Adakah kamu ingin pulang ke tempat asal mu" Jawab pemuda itu "Ya, silalah hantar aku ke tempat asalku". Nasi Sulaiman pun memerintahkan Perdana Menterinya membawa kubah tersebut ke tempat asalnya.

Setelah kubah tersebut diletakkan ke tempat asal, Nabi Sulaiman berkata kepada kaumnya "Kamu semua telah melihat keajaiban yang dikurniakan oleh Allah. Lihatlah betapa besar balasan yang Allah berikan kepada orang yang taat kepada orang tuanya dan betapa seksanya orang yang menderhaka kepada kedua ibu bapanya". Nabi Sulaiman pun berangkat pulang ke tempatnya dan bersyukur kepada Allah Taala kerana telah memberi kesempatan kepadanya untuk menyaksikan perkara yang ajaib.

Begitulah serba sedkit kisah mengenai kelebihan berbuat baik kepada ibu bapa. Kita sebagai anak wajib berbuat baik kepada kedua ibu bapa kita.

Semoga para sahabat sekelian dapat mengambil iktibar daripada kisah ini.

Patutkah merasa malu?????????????

Ibu,
walau diri meningkat dewasa,
dirimu tetap inginku dampingi,
menjadi tempat luahan hati,
disaat kesedihan,kecewa dan kesusahan daku lalui,
dikau inginku selalu dekati,
kerana dikau sangat mengerti,
yang pandai memberi namun tidak sedikitpun dikau meminta kembali........

patutkah daku merasa malu????

ku punyai ramai kawan,
suka duka tempatku luahkan,
bila berjalan tangan ibu ku pegang,
kemana jua langkahku terhalang,
terasa sunyi tanpa ibu yang teman
mungkin benar kata orang,
diriku manja anak kesayangan,..

seringkali daku dipersendakan,
bila lagi hendak aku berenggan,
jauh dengan ibu aku berdampingan.....

patutkah aku merasa malu sekiranya ibu kujadikan teman....walau beribu orang persendakan,......
namun tidak aku hiraukan, kerana ibu hanya seorang dan bukannya teman yang bila2 masa saja dapat ku temukan.....

Taatilah Ibu bapa selagi kita mampu dan berpeluang mentaatinya...perginya ia tiada berganti..hargailah ia ketika ia menghargai kita dan selalu mendampingi kita....
,..
JADILAH ANAK YANG SOLEH....

Monday, November 22, 2010

Tatapan Hati versi 3

Ku kembali kepadaMu disaatku hadapi masalah
Ku melupakanMu disaatku miliki segala,
Seringkali hambamu lupa
Segalanya hanya pinjaman didunia...

Betapa hinanya diriku yaAllah,

Sesungguhnya diriku insan yang lemah,
Kekuatan diri buatku selalu rebah
Kelembutan diri buatku selalu diperendah
Ku mohon hanya padaMu yaAllah,
Berikanku ketabahan,kesabaran,keyakinan untukku hadapi dugaanMu ini yaAllah

Betapa lemahnya diriku yaAllah,


Bersambung,,,,...........................................

Monday, October 4, 2010



Rahsia Dan Hikmah Diwajibkan Solat



Firman Allah SWT : "Katakanlah kepada hamba-Ku yang beriman, hendaklah mereka itu mendirikan solat." (Ibrahim:31)

Terdapat lebih 25 tempat ayat "agama" yang merujuk kepada makna perintah mendirikan solat di dalam Al-Quran. Selain itu, lebih 70 kali perkataan "as-solah" atau solat diulang dan disebut dalam Al-Quran.

Antaranya, firman yang bermaksud:

"Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan solat, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring. Kemudian apabila kamu telah berasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka dirikanlah solat itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya. " (An-Nisa':103)

Setiap individu Muslimin dan Muslimah mesti mengerjakan solat. Malah, bagi ketua keluarga seharusnya memerintahkan ahli keluarganya melakukan solat. Ibu bapa pula wajib mengajar dan membimbing anak melakukan ibadat itu, seawal usia tujuh tahun.

Ibadat solat adalah suatu perintah daripada Tuhan kepada hamba-Nya. Banyak kelebihan, keberkatan dan rahsia yang terkandung di dalam solat, malah mengiringi mereka yang mengerjakannya.

Solat akan menjadikan seseorang sentiasa mengingati Allah dan menghampirkan diri dengan-Nya, sekali gus menjadikan kehidupan seseorang itu sentiasa berhubungan dengan Tuhannya.

" Sesungguhnya Akulah Allah, tiada Tuhan melainkan aku, oleh itu, sembahlah akan daku, dan dirikanlah solat untuk mengingati daku." (Toha:14)

Solat adalah tanda kesyukuran.

Muslimin atau Muslimah yang mengerjakan solat adalah mereka yang tahu bersyukur sebenarnya. Mereka bersyukur atas segala nikmat dan rahmat tidak terhingga yang Allah kurniakan dengan melakukan ibadat kepada-Nya.

Ibadat solat menghapuskan dosa.

Manusia tidak terlepas daripada melakukan dosa dan solat lima kali sehari dapat menghapuskan dosa yang dilakukan. Sebagaimana satu hadis bermaksud:

"Dari Abi Hurairah r.a, sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Solat lima waktu dan solat Jumaat hingga Jumaat berikutnya adalah penebus dosa antara jarak waktu solat-solat itu, selama dijauhinya dosa-dosa besar." (Hadis riwayat Muslim)

Solat mencegah perbuatan keji dan mungkar.

Ibadat solat yang dikerjakan dengan khusyuk dan menepati segala rukunnya boleh mencegah si pelakunya daripada melakukan maksiat dan kemungkaran.

"Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar, dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya), dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan." (Al-Ankabut:45)

Solat dapat memberi keberkatan, kejayaan dan kebahagiaan hidup.

Kita boleh lihat kehidupan orang yang memelihara solat dan orang yang tidak mengerjakan solat, jauh berbeza bukan!

"Sesungguhnya berbahagia/berjayalah orang-orang beriman. (Iaitu) mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya." (Al-Mukminun: 1-2)

Solat dapat menenteramkan jiwa.

Orang yang melakukan solat secara sempurna dan penuh khusyuk, jiwanya aman damai, malah dapat mengawal segala tekanan sekaligus menjadikan kehidupannya lebih ceria.

Seorang yang taat mengerjakan solat sepanjang hidup, lagi mengerti betapa besar kepentingan solat itu kepadanya serta memahami kelebihan dan rahsia bacaannya, sudah tentu akan tenang jiwanya.

"Sesungguhnya manusia itu dijadikan (bersifat) mengeluh apabila kesusahan menimpa dia dan kikir apabila keuntungan mengenai dia, kecuali orang-orang yang solat, yang berkekalan atas solat mereka." (Al-Ma'arij:19-23)

Rasulullah s.a.w ketika berhadapan masalah akan memperbanyakkan solat kerana solat bagi Baginda adalah amalan penyejuk hati. Kelebihan ini sekurang-kurangnya akan menyuntik diri kita umat Islam untuk lebih tekun mengerjakan solat, malah mereka yang selama ini tidak mengenali ibadat itu tertarik untuk turut sama melakukannya.

Saturday, September 11, 2010

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI MAAF ZAHIR DAN BATIN

Wednesday, April 28, 2010

Dia Takdirmu Di Syurga

Dia Takdirmu Di Syurga




HATI manusia sangat fleksibel, tersentuh, mudah bimbang tatkala takdir tidak sebulu dengan fitrah, tatkala diserang malapetaka di luar dugaan resah bukan kepalang, akal separa waras. Bila keinginan diharapkan menemani, datang pula bebanan menghantui. Kenapa, mengapa, apa berlegar, berputar ligat membunuh daya mampu dan mahu. Mampu, dalam erti kata berpecak silat menentang badai, dan mahu, berubah.

Berkali-kali kita diingatkan, manusia tidak sirna dari dugaan, sering diduga dan menduga. Tabi-‘e alam, memang kita memerlukan antara satu sama lain, tiada siapa bisa mendabik dada dia boleh hidup tanpa perlu kepada manusia lain, hatta hartawan sendiri masih memerlukan khidmat orang bawahan, mengaji mengurus dan sebagainya. Justeru itu, masalah akan ada di mana-mana tanpa dipinta, cuma kita disarankan agar berhati-hati, sedia, sabar, dan belajar dari masalah tersebut.

Jodoh, adalah hal berkaitan dengan fitrah, mahu tidak mahu setiap daripada kita pasti dipaksa bergelumang meredah mehnah, suka duka, jerih perih sebelum bahagia dalam rumahtangga direalitikan. Manusia tidak selama-lama akan kebal, pasti ada satu saat dia akan tunduk, jatuh. Oleh kerana itu, Islam mengajar agar kita tidak sombong untuk belajar daripada alam, pengalaman, sirah buat pendinding kalis kecewa, sengsara, dan lara. Kita kian tenang dalam damai ketika mencari cinta Ilahi nan abadi.

Kita mesti selalu jadi baik, agar yang baik juga Allah Taala jodohkan untuk kita. Cinta yang dicari baik, tetapi cinta yang ditemui lebih baik lagi. Keluarga ibarat sebuah negara, suami ialah seorang pemimpin menerajui sebuah kerajaan besar, tidak boleh dipandang enteng. Berjaya atau tidak seorang suami itu dilihat berjaya atau tidak anak buah di bawah jagaannya.

Perkahwinan yang sempurna bukanlah sentiasa sempurna, melainkan ketidak-sempurnaan yang ditangani dengan kemahuan pada agama, syari-‘at aturan daripada al-Quran dan as-Sunnah. Tiada apa yang sempurna dalam dunia ini kerana ini hanyalah dunia. Tidak penting di mana kita bermula, tetapi lebih penting di mana kita akan berakhir.

Kali ini sudah dua kali peluang saya berikan, tapi abang masih tidak mahu berubah...” rintih seorang isteri bila mana tahu si suami main kayu tiga.

Kadangkala kita terlalu mengharap sesuatu yang ideal sehingga kita terlepas pandang dengan segala kebaikan yang ada pada pasangan di depan mata, hingga kita cuba membandingkan dengan insan lain.

Salah kita juga, dulu bercinta bagaikan hilang waras manusia normal, bibir hanya berbicara kebaikan pasangan sahaja, memuji kecantikan pasangan. Bila dah akad, pasti kebaikan juga diharapkan, namun panas tidak selalu sampai ke petang, bila ada step tersilap, maka mulalah persoalkan ini dan itu.

Cabaran hidup berkeluarga tidak seindah yang diimpikan, khabar tidak seindah rupa. Tidak boleh menjadi idealistik. Banyak tanggungjawab harus dipikul, banyak keseronokan masa bujang yang terpaksa dikorbankan, karenah anak-anak yang bisa menggugat kesabaran. Bila dah berumahtangga suami isteri bukan sahaja berkongsi satu bilik, satu katil, satu almari, tapi juga satu rasa, satu tanggungjawab. Bebanan kewangan diatasi, dikoreksi bersama.

Di sini, cinta akan mekar berputik, kekurangan ada di sebelah pasangan dilengkapkan pasangan lain. Usia perkahwinan juga akan melalui pra-matang, maka dalam tempoh demikian, terlalu banyak agenda perlu dirangkumkan, apa patut didahulukan, dan mana patut dikemudiankan.

SEBELUM KAHWIN

Berusaha menjadi terbaik untuk mendapat yang terbaik, bukan menilai orang lain baik tapi diri sendiri tiada usaha menjadi baik. Maka segalanya dilakukan dengan usaha dan niat yang ikhlas, niat baik akan dipertemukan dengan takdir-Nya yang baik-baik. Kebaikan kita dinilai oleh masa, kalau umur dah berginjak 20-25 tahun, tapi masih bermain PSP, baca majalah mangga, belek komik bersiri, bukankah teramat jauh untuk jadi baik. Allah Taala berfirman:

Maksudnya:perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat)” an-Nur (24:26)


Benar kita boleh berlakon, depan orang cerah perut ibu mengandung, tapi sampai bila, tembelang kalian pasti dapat dihidu, bila dah kahwin semua itu sudah tiada lagi, kembali pada perwatakan sebelumnya.Kalian berhak memasang cita-cita, memiliki isteri mampu menjaga pakaian dan makan minum, mendamba isteri rajin bertadarrus al-Quran dan bertahajjud malam, isteri rajin dalam kerja-kerja dakwah, mengimpikan isteri melahirkan zuriat soleh dan solehah, menginginkan isteri berkongsi suka dan duka, kalian boleh buat demikian, tapi sanggupkah kalian juga menjadi seperti apa seorang isteri harapkan, menemani di kala tahajjud, menyediakan pakaian dan makan minum, menjadi pemimpin baik buat dirinya dan anak-anak yang soleh dan solehah.

Mereka bertadabbur, dan memahami kalam Allah satu ini;

Allah Taala berfirman, bermaksud: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan...” an-Nisaa’ (4:34)

Menetapkan niat untuk menjadi lelaki yang baik untuk keluarganya serta hasrat untuk melahirkan generasi baru yang membawa ad-Deen merupakan usaha yang murni. Sudah tentu usaha sedemikian memerlukan keteguhan dan kecekalan serta usaha yang berterusan sambil memohon pertolongan Ilahi. Niat yang baik akan menatijahkan hasil yang baik.

Seorang lelaki menyukai perempuan yang mempunyai sedikit sentuhan maskulin manakala perempuan yang akan menjadi isteri juga menyukai lelaki yang mempunyai sentuhan feminin.Ringkasnya, suami akan suka isteri yang boleh berdikari menyelesaikan beberapa tugasan atau kerja-kerja yang selama ini dilakukan oleh suami, manakala isteri juga menyukai suaminya sekali sekala buat kerja rumah dan memasak untuk keluarga. Ada kalanya suami memerlukan isteri membantunya dalam menyelesaikan kerja-kerja yang selama ini suami yang lakukan, adakalanya si isteri memerlukan suami untuk ringan tulang dalam hal berkaitan house-chores.

Tiadalah itu satu harapan yang melangit, melainkan rasa ingin merealisasikan sesuatu yang sudah berkurangan dalam kehidupan insan hari ini. Rasulullah s.a.w dalam kesibukannya berdakwah dan menjadi penghulu ummat juga mampu memenuhi hak-hak keluarganya, dan membina satu keluarga Islami yang bahagia, maka kita juga berusaha untuk menjadi seperti baginda.Saya tidak setuju kalian bercinta sebelum kahwin. Cinta tidak salah, tapi masalah besar adalah orang bercinta, salah meletakkan harga sebuah cinta. Kalau sudah rasa tidak mampu, maka jauhilah maksiat cinta.

Kebanyakan orang bercinta terbawa-bawa dengan khayalan cinta sehingga bersikap terlalu romantik. Bila berbual, banyak control macho sehingga tidak berani bercakap jujur dalam hal-hal tertentu. Bila bercakap, banyak tipu dari memberitahu perkara yang sebenar. Bila merancang, banyak manis dari yang pahit. Bila berjanji banyak hipokrit dari realistik. Ini lumrah orang bercinta. Kerana itu, elakkan mengenali pasangan terlalu intim sebelum berkahwin. Dibimbangi, kalian terkejut selepas berkahwin.

Sanggupkah kalian bercinta?





SELEPAS KAHWIN

Kehidupan adalah realiti yang memotretkan pelbagai palitan warna emosi, suka duka sebagai diari dibaca, dicermati pada hari muka, hal baik-baik sudah pasti diulang dan diperbaiki dari semasa ke semasa.

Kehidupan adalah lautan yang dipenuhi gelombang, taufan dan goncangan, membawa pelbagai cuaca, sudah pasti memberi kesan membekas di hati manusia. Hati manusia ibarat sebuah sampan kecil yang dipaksa berlayar dalam lautan luas. Mahu atau tidak, manusia perlu benar-benar memahami, belajar dari lautan kehidupan sebaik sahaja mereka membuka mata, dan bersedia memulakan pelayaran. Suri teladan para pelayar sudah ada di hadapan kalian, tinggal lagi kalian memilih cara mereka atau membentuk kaedah pelayaran tersendiri berdasarkan pengalaman mereka.

Pelayar terbaik, tidak lain dan bukan adalah baginda s.a.w.

Cinta itu bukan alasan utama untuk dapat bahagia, kerana ramai juga bercerai kerana cinta.

Ramai orang bercinta bagai hilang ingatan, tapi bercerai berai juga. Ramai yang kahwin suka sama suka, tapi rumahtangga kecoh. Ini bukan soal cinta atau suka. Ini soal sejauh mana kebergantungan suami isteri pada Allah Taala dalam setiap urusan, Sejauh mana mereka sepakat dalam mencari berkat dalam rumahtangga. Dengan kehendak Allah sahaja, rumahtangga akan berjaya dan bahagia. Pohonlah kebaikan pada-Nya, serta terus menerus menjadi baik.

Andai ombak kuat melanda bahtera, jangan disangka tiada harapan dapat berlabuh dengan selamat. Ingatlah semakin kita diuji, itu tandanya kasih sayang Allah Taala kepada kita dan Dia tidak akan membebankan hamba-Nya melainkan sesuai dengan apa yang daya kekuatan. Allah Taala ബെര്ഫിര്മന്‍:

Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya” al-Baqarah (2:286)


Makin banyak kita diuji, makin dekat kita kepada-Nya dan semakin matang dan penuh hikmah kita menyelesaikan sebarang masalah dengan kaedah terbaik, dipersetujui bersama.

Bersabarlah para isteri dengan suami yang kebanyakannya akan diam dalam membatu, dan bersabarlah para suami dengan leteran dan bebelan para isteri yang adakalanya untuk menyedarkan anda. Dialah satu-satunya insan yang terbaik untuk diri kalian, bukan kedua, bukan ketiga. Berusahalah melengkapi kekurangan antara satu sama lain dengan segala kelebihan dan kebaikan pada diri masing-masing. Bukannya untuk meruntuhkan masjid yang dibina dan memisahkan ikatan yang terjalin. Carilah salah sendiri kenapa tidak mencari yang kurang baik tapi bisa diasuh menjadi baik.

Rumahtangga bahagia, bukan bahagia cukup material dan keperluan jasmani bahkan keperluan rohani. Maka bercintalah kalian sepuas-puasnya, kerana kalian adalah halal bagi pasangan. Setiap hembusan cinta kalian, pasti berbuahkan pahala di kebun cinta Ilahi di taman syurga nanti. Bukankan ironi sangat aneh, bercinta sebelum kahwin lebih hebat berbanding bercinta selepas akad, jelas sekali kalian hipokrit.

Kenapa perlu mengembalikan cinta?

Saya merasakan setiap manusia itu entitled dan deserved untuk hidup dalam tenang dan bahagia. Hidup tanpa cinta ibarat burung yang terbang dalam sangkar. Selagi ada ruang untuk bercinta, maka sirami dan bajailah cinta itu. Cinta selepas Ijab dan Qabul, sesungguhnya mampu untuk diluahkan dan masih ada untuk dihadiahkan bersama.

Selepas kahwin anda tetap sebagai nakhoda. Nakhoda kepada para kelasi di bawah tanggungan anda. Baik buruk kesudahan perjalanan mereka berada di tangan kalian. Prinsip dan paradigma utuh sahaja akan selamat mengemudi badai dunia.

Jadilah Soleh & Solehah

JADILAH SOLEH DAN SOLEHAH DAHULU



Tidak dinamakan cinta suci jika nafsu menjadi sandaran utama. Bukan membuang perasaan fitrah insani mahu mencintai dan dicintai, namun tahu dan sedar di mana sasaran pengakhiran konsep cinta yang di bawa itu. Rumah tidak dibangunkan dalam masa sehari, cinta suci memerlukan perlakuan yang disaluti kesabaran tinggi, di mana terlatih sepanjang masa bersama keimanan yang kental dan utuh.

Dalam Islam cinta dan keimanan adalah dua perkara yang tidak dapat dipisahkan. Cinta yang berlandaskan Iman akan membawa seseorang kepada kemuliaan, sebaliknya cinta yang tidak berlandaskan Iman akan menjatuhkan seseorang ke jurang kehinaan. Cinta dan keimanan laksana kedua belah sayap burung. Imam Hassan Al Banna mengatakan bahawa: “Dengan dua sayap (Iman dan cinta) inilah Islam diterbangkan setinggi-tingginya ke langit kemuliaan”

Bagaimana tidak, jikalau Iman tanpa cinta akan pincang, dan cinta tanpa Iman akan jatuh ke jurang kehinaan. Iman tidak akan terasa lazat tanpa cinta dan sebaliknya cinta pun tidak lazat tanpa Iman. Kalau sudah tahu diri ini tidak terbaik di pandangan mata manusia, kenapa tidak berusaha menjadi sebaik mungkin dalam menambah fungsi diri mencapai kebaikan di sisi Dzat Allah Taala?

Kalau sudah tahu dan pasti diri tidak mampu memiliki pasangan soleh dan solehah, kenapa tidak mencari kurang soleh dan solehah, dan berusaha merubah menjadi soleh dan solehah? Berusahalah menjadi soleh dan solehah terlebih dahulu, pasti takdir ketentuan-Nya untuk anda dengan insan solehah dan soleh.

Saturday, April 17, 2010

Anugerah cinta dari-Nya


Bagaimana Bercinta Cara Islam?
www.iLuvislam.com
oleh: radhe



Islam adalah agama yang syumul. Sebuah agama yang lengkap. Islam tidak mungkin menyekat fitrah manusia yang sememangnya ingin menyayangi dan ingin disayangi. Untuk apa Allah menciptakan manusia berfitrah seperti sedia ada jika manusia akan diperintahkan untuk membunuh fitrahnya itu? Ajaran Islam telah diturunkan oleh Allah untuk memasang bingkai agar kemahuan manusia itu dapat disalurkan dengan cara yang terbaik. Selain itu, Islam menutup rapat jalan kemaksiatan dan membuka seluas-luasnya jalan menuju ketaatan serta memberi dorongan kuat ke arah perlaksanaanya. Rasulullah s.a.w. pernah mengecam salah seorang sahabat yang bertekad untuk tidak bernikah. Ini merupakan salah satu bukti bahawa Islam mengakui fitrah manusia yang ingin mengasihi dan dikasihi atau mencintai dan dicintai.

Percintaan dalam Islam hanyalah selepas termetrainya sebuah ikatan pernikahan antara dua insan, iaitu setelah bergelar suami isteri. Islam telah menggariskan panduan dalam menuju ke arah gerbang perkahwinan ini. Ustaz Hassan Din telah memberikan pendapatnya mengenai hal ini dalam Al-Kulliyah di TV3 pada 28 Julai 2006, iaitu pada hari Jumaat. Tajuk perbincangan Al-Kulliyah ketika itu agak menarik ; iaitu "Jodoh".


Masyarakat Sudah Lari

Apabila diminta memberikan pendapat beliau, beliau telah mengatakan bahawa cara masyarakat sekarang mengendalikan perihal jodoh telah lari daripada syariat yang sepatutnya.

"Sebenarnya dalam Islam, apabila seseorang lelaki itu telah berkenan dengan seorang wanita dan ingin menjadikan teman hidupnya, sepatutnya lelaki itu berjumpa dengan wali si perempuan tadi untuk menyatakan niatnya untuk masuk meminang. Tetapi masyarakat sekarang silap. Mereka terus berjumpa dengan empunya diri dan terus menyatakan hasrat hatinya. Kemudian mereka bercinta, berjanji, bersumpah setia dan segala-galanya. Sedangkan ibubapa mereka langsung tidak tahu akan hubungan mereka itu. Setelah sekian lama bercinta, apabila ingin melangsungkan perkahwinan, mak dan ayah tidak bersetuju dengan mengeluarkan pelbagai alasan,” terang beliau.


Konsep Meminang

Beliau juga menerangkan konsep peminangan ini. Kata beliau, “Ibu bapa mungkin sudah ada pilihan mereka sendiri. Oleh itu, dengan menyatakan niat kepada ibubapa, mereka akan berjumpa sendiri dengan wali perempuan tadi untuk mengenali keluarga dan calon menantu mereka dengan lebih jelas. Setelah kedua-dua pihak bersetuju, barulah dijalankan upacara peminangan, iaitu kedua-dua insan tadi telah menjadi tunang. Apabila sudah menjadi tunangan orang, adalah HARAM perempaun itu dipinang oleh lelaki lain, seperti yang telah dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis baginda. Dalam masa pertunangan inilah kedua-dua pihak lelaki dan perempuan tadi akan saling mengenali antara satu-sama lain, bagi memastikan adakah ini merupakan pasangan hidupnya yang sebenar. Jika kedua-duanya sudah bersetuju, barulah pernikahan dilangsungkan,” jelas beliau lagi.

"Dalam masa pertunangan inilah kedua-dua pihak lelaki dan perempuan tadi akan saling mengenali antara satu-sama lain, bagi memastikan adakah ini merupakan pasangan hidupnya yang sebenar. Jika kedua-duanya sudah bersetuju, barulah pernikahan dilangsungkan."

Namun begitu, Ustaz Hassan Din menegaskan bahawa bertunang bukan merupakan lesen yang membenarkan kedua-dua pasangan bermesra-mesra seperti suami isteri. Bertunang hanyalah untuk saling mengenali antara satu sama lain dan bukannya untuk bercinta. Pasangan yang telah bertunang tetap tidak boleh keluar berdua-duaan tanpa ditemani oleh ahli keluarga. Selagi belum bernikah, mereka tetap dua insan yang bukan mahram dan masih perlu manjaga batasan-batasan Islam seperti yang telah dibincangkan sebelum ini. Dan jika dalam tempoh pertunangan itu didapati kedua-dua pasangan ini tidak secocok atau tidak serasi, maka pertunangan bolehlah diputuskan secara baik melalui persetujuan kedua-dua belah pihak.

Dan jika dalam tempoh pertunangan itu didapati kedua-dua pasangan ini tidak secocok atau tidak serasi, maka pertunangan bolehlah diputuskan secara baik melalui persetujuan kedua-dua belah pihak.




Perigi Cari Timba

Ada pula yang berkata, “Cara ini untuk lelaki bolehlah. Untuk perempuan, tak sesuai. Nanti orang kata, ‘macam perigi mencari timba’, ‘wanita tidak bermaruah’ dan macam-macam lagi.” Sabar dahulu saudari.

Sebenarnya ini merupakan pemikiran songsang yang telah diterapkan dalam masyarakat Melayu kita. Sebetulnya kita berbalik kepada Islam itu sendiri. Bagaimanakah Islam mengajar wanita yang berkeinginan bernikah untuk menyuarakan keinginanya? Mari kita kaji sirah.

Bukankah perkahwinan teragung antara junjungan kita, Nabi Muhammad s.a.w. dan Siti Khadijah r.a. dimulakan dengan Siti Khadijah menzahirkan keinginannya? Ketika mengetahui sifat-sifat mulia yang dimiliki oleh Nabi Muhammad s.a.w., beliau merasakan yang dia tidak akan menjumpai sesiapa yang lebih layak untuk dijadikan suaminya melainkan Baginda. Oleh itu Siti Khadijah menyuarakan keinginannya kepada pakciknya, Abbas, agar merisik Muhammad s.a.w. Sesudah pihak Baginda bersetuju, barulah keluarga Nabi menghantar rombongan meminang. Begitulah yang diajarkan dalam sirah??

Jadi, tiada salahnya wanita yang memulakan dahulu. Bukankan itu lebih mulia, menyuarakan keinginan dan kebersediaan untuk mengikuti sunnah baginda Rasulullah s.a.w.? Cuma biarlah caranya sesuai dengan cara masyarakat kita. Jika seorang wanita itu telah mempunyai calon suami yang baik dan soleh, suarakan-lah kepada ibu bapa supaya mereka dapat menghubungi pihak keluarga lelaki tersebut. Biar orang tua yang menguruskan, kita cuma mencadangkan. Kalau kedua-dua pihak setuju, alhamdulillah. Maka pihak lelaki boleh masuk meminang.

Indahnya Cara Islam

Lihat, betapa indahnya Islam mengaturkan perjalanan hidup penganutnya. Cukup teratur dan sitematik. Cara ini dapat mengelakkan daripada berlakunya maksiat dan perkara-perkara lain yang tidak diingini. Dalam masa yang sama, ia menuju kepada pembentukan keluarga bahagia yang diidamkan oleh semua manusia kerana itulah fitrah insani. Insya-Allah jika segalanya dilakukan dengan niat ikhlas kerana Allah dan bukan atas dasar nafsu dan keduniaan semata-mata, Allah akan mempermudah urusan itu.



Untuk mereka yang masih menimba ilmu, tidak perlulah bersusah-susah mencari jodoh sekarang. Jodoh di tangan Allah, pasti bertemu jua dengan taqdirnya. Sekarang kita mempunyai matlamat yang lebih penting iaitu mendapatkan kecemerlangan dalam pelajaran dan menunaikan tanggungjawab kita sebagai muslim. Banyak lagi tanggungjawab yang perlu kita pikul dan bercinta bukanlah sesuatu yang perlu buat masa sekarang. Berusahalah menjadi muslim dan muslimah sejati serta mengamalkan Islam dalam kehidupan kita.

Akan tetapi, bagi mereka yang merasakan diri sudah mampu untuk memikul tanggungjawab berumah tangga, mampu memberi nafkah zahir dan batin, maka bernikahlah. Tiada salahnya bernikah ketika belajar. Itu adalah lebih mulia daripada mereka yang ber’couple’, dan memuaskan nafsu mengikut telunjuk syaitan. Ikutilah cara-cara menuju pernikahan yang telah diterangkan di atas. Sekali lagi ditegaskan, bercinta sebelum berkahwin dan ber’couple’ adalah menghampiri zina dan hukumnya adalah HARAM.

"Jika tepat masa,ketika, keadaan dan SIAPA, cinta adalah kuasa luar biasa yang tiada bandingannya" -Ustaz Pahrol Mohd Juoi, penulis buku "Tentang Cinta"


Kenangan yang x mungkin ku lupakan di UKM

Sunday, January 31, 2010

Jihad Pemuda Islam UKM


Dua pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ditahan ketika berdemonstrasi membantah keputusan pilihan raya kampus di dua fakulti universiti berkenaan.

NONEMereka bagaimanapun dibebaskan 30 minit selepas itu dan diminta ke ibu pejabat polis daerah (IPD) Kajang petang ini untuk memberikan keterangan.

Difahamkan sebelum itu berlaku pergelutan kecil antara pihak polis dan kumpulan pelajar.

Seorang pemimpin kumpulan tersebut memberitahu
Malaysiakini, bermula jam 2.30 petang tadi, kira-kira 200 mahasiswa berdemonstrasi membantah keputusan pilihan raya kampus di dua fakulti.

Difahamkan pro-M menganjurkan demonstrasi tersebut bagi membantah keputusan pilihan raya di Fakulti Kejuruteraan dan Fakulti Alam Bina yang didakwa tidak tepat.

NONE"Mengikut kiraan kita, kita menang di kedua-dua fakulti tersebut, tetapi keputusan yang diumumkan berbeza," kata sumber berkenaan.

Kira-kira 30 polis mengawal keadaan sejak sebelum waktu solat Jumaat lagi.

Dalam pilihanrayanya semalam, pro-M tewas di tangan musuh tradisi pro-A. Mereka mendapat 15 kerusi berbanding 19 yang dimenangi pro-A. Bebas mendapat 1 kerusi. Universiti tersebut mempertandingkan 35 kerusi. (
Malaysiakini)

Kronologi Perhimpunan..




Perhimpunan berjalan dengan aman demi memberi penjelasan kepada warga kampus mengenai apa yang berlaku sewaktu perjalanan Pilihan Raya Kampus semalam








Kekacauan bermula apabila pihak yang tidak sepatutnya merempuh masuk dan melayan mahasiswa seperti melayan penjenayah













Segalanya tercetus apabila wujudnya kebobrokkan dan penyelewengan yang berlaku ketika diumumkan keputusan PRK UKM semalam (28/1/10). Mahasiswa bukanlah boneka atau 'kuda' yang boleh diperkotak-katikkan dan ditunggangi oleh mana-mana pihak. Sepatutnya biarlah mahasiswa sendiri yang menyelesaikan perkara ini tanpa melibatkan mana-mana pihak yang tidak sepatutnya.

Begitulah fitrah dan lumrah dunia. Penuh dengan tribulasi dan mehnah. Hanya yang tabah dan cekal dengan keimanan sahaja yang tidak akan berganjak dari perjuangan. Benarlah firman Allah :


أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ ٢٩:٢
"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka itu sudah beriman sedangkan mereka itu belum diuji?"

perjuangan Mahasiswa tegakkan kebenaran

Universiti diminta tak singkir mahasiswa berdemonstrasi

Jan 30, 10 9:33pm


Pihak pengurusan universiti diminta supaya bertindak adil dan tidak menyingkirkan sembilan mahasiswa yang ditahan polis kerana mengadakan demonstrasi membantah proses pilihan raya kampus (PRK) di ibu negara Sabtu lalu.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah (kiri, berbaju putih) berkata perkara itu perlu diserahkan kepada pihak polis untuk mengambil tindakan selanjutnya terhadap mahasiswa yang terbabit dalam demonstrasi itu.

Beliau berharap pihak pengurusan universiti tidak mengenakan tindakan dwi-dakwaan terhadap mahasiswa tersebut atas satu kesalahan.

"Setiap universiti mempunyai pelbagai bentuk tindakan tataterbit di mana tindakan buang pelajar adalah jalan terakhir. Saya harap ia tidak akan sampai ke tahap itu," katannya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Karangkaraf di Shah Alam hari ini.

Pada kejadian itu, polis menahan sembilan daripada kira-kira 200 mahasiswa dari pelbagai universiti yang menyertai perhimpunan membantah proses PRK di Menara Tun Razak, Jalan Raja, Kuala Lumpur, sebelum berarak ke kompleks membeli-belah Sogo, kira-kira 500 meter dari situ.Pelajar berkenaan berhasrat untuk menyebarkan risalah kepada orang ramai dengan tujuan memberi penerangan serta mendapatkan sokongan agar mendesak demokrasi dikampus dipulihkan.

Ketika sampai di Sogo, mereka diarahkan oleh polis supaya bersurai.

Sembilan daripada mereka kemudiannya ditahan polis kerana didakwa gagal berbuat demikian.

Mereka ialah Hilman Idham, Aizat Salleh, Mohammad Za'im Mustapha, Ahmad Shukri Kamarudin, Ahmad Syukri Abdul Razak, Mohammad Idris Yusoff, Fikhri Harun, Syahriul Ismail dan Ridhuan Jamil.

Monday, January 4, 2010

Bida'ah

Artikel ini ditulis di atas permintaan sahabat untuk memahami permasalahan mengenai bidaah. Saya tidak bercadang untuk membawa dalil-dalil dari kitab-kitab yang besar untuk menerangkan masalah yang tiada berkesudahan ini. Sekadar pemerhatian, saya dapati sudah banyak artikel mengenainya ditulis yang dipetik daripada kitab ulamak dan juga dalil al-Quran dan al-Hadis. Namun apa yang ingin saya kongsikan bersama suatu kefahaman yang perlu ada kepada kita untuk memahami permasalahan ini yang sengaja dibesar-besarkan agar umat Islam terus berselisih sepanjang zaman sehingga melupakan perkara yang lebih besar daripada membincangksn masalah khilafiyah yang sudah diselesaikan oleh ulamak terdahulu beratusan tahun.

Namun, kerana wujudnya segelintir golongan yang tidak ingin berpedoman dengan kalam ulamak bahkan mereka lebih suka untuk menggunakan kalam mereka sendiri menyebabkan mereka hanyut dalam kefahaman yang mereka cipta sendiri. Ulamak dikatakan manusia biasa. Mempunyai potensi untuk melakukan kesilapan namun persoalannya apakah kita luar biasa? Apakah pandangan kita tidak ada potensi untuk silap? Sudah tentu pandangan kita yang dangkal dan tidak dipandukan dengan dowaabit syariyyah yang betul, lebih berpotensi untuk silap berbanding ulamak-ulamak kita yang jika dihitung kitab dan tulisan mereka tidak termampu oleh kita untuk merenangi lautan ilmu mereka. Justeru, menyebabkan kita hanyut di lautan yang luas bersama rakit kecil.


Sayugia difahami, untuk memahami nas syar’iyyah kita memerlukan penguasaan ilmu alat. Ilmu alat merupakan suatu sifir dan formula yang disusun oleh ulamak bersumberkan al-Quran dan al-Hadis. Formula ini disusun setelah mereka merenangi lautan ilmu yang luas daripada kalamullah dan kalam Rasulillah SAW. Bukan hanya berakit ke hulu lalu merasakan diri sudah hebat dan jaguh di lautan ilmu Allah SWT. Kesilapan memahami hadis Rasulillah SAW merupakan suatu pendustaan ke atas nama Nabi SAW yang dijanjikan “seat” kelas VVIP di dalam api neraka Allah SWT seperti mana yang telah disabdakan oleh junjungan besar SAW.


Bidaah bukan suatu hukum. Jika kita mempelajari ilmu usul fiqh kita tidak akan menemui satu hukum yang dinamakan sebagai bidaah. Hukum ada 5 yang disebut sebagai hukum takhlifi iaitu wajib, haram, sunat, makruh dan harus. Jadi, sesuatu perkara bidaah hendaklah dihukumkan dengan 5 hukum ini samada ia bidaah yang wajib, bidaah yang haram, bidaah yang sunat, bidaah yang makruh atau bidaah yang harus. Maka kita tidak boleh hukumkan semua bidaah adalah haram kerana terdapat bidaah yang wajib seperti menyusun al-Quran di dalam satu mushaf yang kita tahu ia berlaku pada zaman Sayyidina Uthman R.A. iaitu zaman sahabat Radhiallahu ‘Anhum. Tidak berlaku pada zaman Nabi SAW. Maka Islam tidak menganggap ia sesuatu yang haram bahkan wajib kerana jika tidak disusun di dalam satu mushaf yang dikenali sebagai mushaf uthmani pada zaman kita ini maka keaslian al-Quran tidak akan terjamin kerana masing-masing akan membaca mengikut lahjah (loghat) mereka.


Saya boleh membincangkan topik ini daripada sudut bahasa arab itu sendiri. Adakah kullu yang digunakan oleh Nabi SAW menunjukkan tidak terkecuali yakni semua atau sebahagian sahaja? Tidak ada takhsis dan sebagainya. Mengapa digunakan lafaz nakirah pada perkataan bidaatin? Kenapa digunakan perkataan muaannas iaitu bida’ah tidak digunakan bid’un sahaja namun saya tidak berhasrat untuk membincangkannya pada artikel ini. Cukuplah jika kita memahami bahawa kalam nabi SAW merupakan kalam berbahasa arab dan mesti difahami dengan menggunakan bahasa arab yang betul mengikut qawaid nahwiyyahnya. Jika kita mengetahui makna bahasa arab dengan bantuan kamus jangan merasa terlalu bijak untuk memahami kalam Nabi SAW yang agung sehinggakan penyair-penyair arab yang hebat bahasanya di zaman jahiliyyah tidak dapat menandingi kesusasteraan bahasa Nabi SAW.


Kecuaian dalam memahami istilah hadis. Apakah yang dimaksudkan dengan hadis Nabi SAW? Hadis ialah “apa yang disandarkan kepada Nabi SAW daripada perkataan atau perbuatan atau pengakuan atau sifat kejadian tubuh Nabi SAW atau akhlaknya”. Ulamak usuliyyun yakni ulamak usul fiqh tidak mengambil kira sifat kejadian Nabi SAW dan akhlak sebagai dalil hukum. Dengan perkataan yang lain. Ulamak usuliyyun mengambil kira 3 aspek daripada 5 aspek ini untuk menentukan sesuatu hukum iaitu perkataan Nabi SAW, perbuatan Nabi SAW dan akuan atau diam Nabi SAW.


Kebiasaan golongan yang suka membidaahkan umat Islam melihat kepada dua sahaja iaitu apa yang dikatakan oleh Nabi SAW dan apa yang dibuat oleh baginda dan mencuaikan yang ketiga iaitu hadis taqriri atau sunnah taqririyyah. Jika Nabi tak buat dan Nabi tak kata maka bidaah padahal di sana masih ada satu lagi kategori hadis yang dicuaikan oleh mereka iaitu sunnah taqririyyah. Sunnah taqririyyah ialah sesuatu yang Nabi diam padanya. Nabi tidak kata boleh dan Nabi tidak kata tak boleh atau haram maka dikira sebagai harus. Pernah belaku di zaman Nabi SAW, para sahabat memakan dhob (binatang padang pasir bentuknya seperti biawak) dihadapan Nabi SAW tetapi Nabi tidak memakannya dan Nabi SAW tidak melarang sahabatnya daripada makan maka ulamak menganggap ia suatu yang halal kerana jika ia suatu yang diharamkan oleh Allah SWT maka pasti dilarang oleh Nabi SAW kerana seorang Nabi tidak akan redha dengan maksiat yang dilakukan oleh umatnya dan menjadi kewajipan seorang Nabi untuk menyatakannnya. Maka inilah yang dikatakan sebagai hadis taqriri atau sunnah taqririyyah. Nabi tak kata dan Nabi tak buat tapi adakah Nabi larang? Jika tidak ada larangan daripada Nabi SAW mengapa kita memandai-mandai untuk melarang dan mengatakannnya haram?


Jika kita melarang apa yang Nabi SAW tidak larang kita juga sebenarnya melakukan bidaah yang lebih besar kerana kita mengada-ngadakan larangan sesuatu yang Nabi SAW sendiri tidak larang. Kerana kecuaian kita dalam memahami sunnah taqririyah ini maka kita melarang apa yang Nabi SAW tidak pernah melarang seperti tahlil, berzikir selepas solat secara berjemaah, terawih secara berjemaah, talqin kepada orang yang telah mati, bacaan yasin malam jumaat dan seumpamanya bahkan nun jauh di sana ada dilalah yang membenarkan semua itu walaupun daripada sudut parktikalnya berbeza kerana ia termasuk daripada perkara yang luas dan tidak ditetapkan begini-begini. Adapun bidaah yang haram ialah seperti kita menambah bilangan rakaat solat yang secara qot’ie telah ditetapkan oleh Allah dan RasulNya.


Adapun permasalahan baca yasin maka tidak menjadi satu kesalahan jika kita ingin membacanya pada malam jumaat atau pada malam-malam yang lain tanpa mewajibkannya. Namun dengan kelebihan surah yasin yang digelar sebagai qalbul quran (jantung al-Quran) dan kebesaran malam jumaat yang digelar sebagai sayyidul ayyam (penghulu segala hari) maka jika digabung keduanya sudah pasti kita akan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah SWT.