Saturday, October 10, 2009

Isu Akidah Islam

Tahlil bukan bidaah

Majoriti ulama dunia menerima tahlil sebagai amalan yang membolehkan pahala ibadat ini disedekahkan kepada orang yang telah meninggal dunia. Meskipun terdapat pandangan berbeza mendakwa tahlil sebagai bidaah (amalan ibadat sekarang yang tidak ada secara khusus dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW), ulama terkemuka menerima konsep tahlil. Pensyarah Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Dr Luqman Abdullah, berkata tahlil atau sebarang perkataan yang merujuk kepada kalimah 'tiada Tuhan melainkan Allah' dilakukan di kebanyakan dunia Islam.


Katanya, tahlil berjemaah sudah sebati dalam masyarakat Islam negara ini, terutama apabila berlaku kematian, malah kini menjadi program rasmi peringkat negara untuk menyambut perayaan tertentu. “Sebenarnya ulama dunia seperti Mufti Besar Mesir, Sheikh Ali Gomaa, mengakui bahawa memang ada konsep tahlil dalam Islam. Bukan beliau saja, kebanyakan ulama lain mempunyai pandangan sama,” katanya. Beliau berkata, tahlil juga adalah aktiviti sosial bermanfaat kerana umat Islam berkumpul dan berzikir untuk mengingati Allah.

“Saya tidak nampak ada masalah dari segi hukum syarak. Mungkin perbezaan dari segi tempat seperti bertahlil di Malaysia dan Indonesia tidak sama dari segi cara. Perbezaan ini lebih kepada faktor budaya, tetapi prinsip amalan tetap sama,” katanya. Dr Luqman berkata, prinsip tahlil ialah pahala ibadat ini disedekahkan kepada si mati dan ini juga adalah pandangan majoriti ulama. Katanya, ulama terkenal Arab Saudi, Sheikh Sayyid Muhammad Alawi, menyatakan bahawa orang yang meninggal dunia boleh mendapat manfaat daripada amalan soleh orang yang masih hidup, tetapi bentuk manfaat itu tidak diketahui.

Terserah kepada Allah. Mungkin manfaat dalam bentuk pahala dan atau dosa diringankan. Prinsipnya adalah sampai kepada si mati,” katanya. Beliau tidak menafikan ada yang menganggap tahlil sebagai bidaah, tetapi jika dilihat dari sudut ini, ini bermakna banyak perkara yang dilakukan umat Islam sekarang adalah bidaah. “Kita tidak boleh menghukum setiap perkara yang Nabi Muhammad SAW tidak buat sebagai bidaah dan sesat,” katanya. Mengenai amalan mengadakan majlis tahlil pada hari Khamis malam Jumaat, katanya selain berasaskan kelebihan malam Jumaat, ia mempunyai kaitan dengan pada zaman dulu, Jumaat adalah hari cuti menyebabkan masyarakat memilih hari itu. Sepanjang Ramadan pula, katanya majlis tahlil semakin kerap diadakan kerana kelebihan beribadat sepanjang bulan ini mendapat pahala berlipat kali ganda.

No comments: