Saturday, October 24, 2009

hikmah dalam dakwah

Profesionalisma Dakwah Kesan Tabiat Ke-5

KENYATAAN:

Artikel ini adalah sebahagian siri artikel saya berkaitan modul The 7 Habit of Highly Effective People milik Franklin Covey yang cuba saya olah berdasarkan perspektif dan nilai Islam. Tujuannya adalah untuk menggalakkan masyarakat mengambil manfaat daripada buku-buku Self Help yang ada di pasaran untuk memperkemaskan persembahan Islam agar keberkesanannya berada di tahap semasa dan optimum. Ikuti lanjutan artikel ini melalui artikel-artikel di bawah kategori Revolusi Sikap, atau terus ke Pendahuluan, Habit 1, Habit 2, Habit 3, Habit 4, Habit 5, Habit 6 dan Habit 7 – ABU SAIF

“Apa yang saya dah sebutkan tadi, itulah yang Allah dan Rasul sebut. Kalau kamu ikut kamu selamat, kalau kamu tak ikut, tanggunglah sendiri”, kata seorang kawan yang ‘panas’ dengan kedegilan rakannya.

“Saya tidak faham, apa lagi yang perlu dijelaskan untuk menyedarkan golongan yang tak faham bahasa ni. Susah sangatkah nak faham bahawa benda tu haram!”, tegas seorang ustaz yang sedang menggeramkan nada ceramah akibat kedegilan masyarakatnya.

Memang susah untuk kita faham, mengapa sesuatu yang sangat jelas kepada kita, masih kabur di pandangan orang lain.

Tetapi mungkin kita susah untuk memahaminya kerana kita tidak pernah pun berusaha untuk faham. Tidak pernah kerana terlalu sibuk meletakkan harapan orang faham akan kita. Terlalu sibuk meminta difahami hingga tidak sedar akan keperluan memahami.

Itulah saranan HIKMAH di dalam dakwah, yang dibahasakan secara teknikal oleh perbincangan kita yang lalu sebagai SEEK FIRST TO UNDERSTAND, THEN TO BE UNDERSTOOD.

KOMUNIKASI EFEKTIF

Jika komunikasi efektif itu sangat penting di dalam hubungan sosial, apatah lagi dalam perniagaan dan kehidupan seharian, maka sesungguhnya komunikasi efektif itu jugalah merupakan salah satu elemen terpenting bagi menjayakan proses dakwah, menyampai dan menyeru manusia kepada Islam dan kebenaran.

Biarlah orang yang menolak dakwah itu, menolaknya kerana kedegilannya menolak kebenaran. Tetapi amat cela ke atas pendakwah, andai seruannya ditolak bukan kerana permusuhan mad’u terhadap kebenaran, tetapi kerana tidak dapat menerima pendekatan yang diguna pakai oleh pendakwah berkenaan di dalam dakwahnya.

CATATAN SIRAH

Jika direnung kepada Sirah Nabi SAW, Baginda tidak pula bersikap secara superiority attitude atas kebenaran yang dibawanya, hingga berdakwah secara satu hala. Baginda memang tidak pernah peduli akan segala rintangan dan dugaan yang ada di jalan dakwah itu. Tetapi Baginda nyata amat peduli terhadap faktor-faktor manusiawi yang ada pada mad’u yang didekati.

Justeru satu soalan yang ditanya oleh manusia yang pelbagai, maka pelbagai jugalah jawapan yang ditawarkan oleh Baginda SAW.

Apa itu Islam?

Ada masanya Baginda memberikan definisi Islam yang bersangkutan dengan jihad dan peperangan.

Ada masanya Baginda memberikan definisi Islam yang bersangkutan dengan hal-hal kekeluargaan.

Jawapan Baginda sentiasa kena dengan penyoal yang bertanya.

Sama ada ketepatan jawapan Baginda itu datang secara taufiqiyyah atau tauqifiyyah, diilhamkan oleh Allah atau atas kebijaksanaan Baginda sendiri, jelasnya ia adalah suatu bentuk komunikasi efektif yang boleh diteladani.

“IZINKAN SAYA BERZINA”

Pernah sekali, seorang lelaki datang kepada Baginda SAW bertanyakan tentang kebarangkalian yang ada untuk dirinya dibenarkan berzina.

Zina itu bukanlah sesuatu yang terlalu sulit untuk difahami akan keburukannya. Segala sebab itu ada untuk pertanyaan itu dibalas dengan kemarahan oleh Baginda SAW. Malah riwayat di atas menceritakan bagaimana orang ramai yang ada ketika itu menyerbu lelaki berkenaan, memarahinya dengan ungkapan “mah, mah!”, iaitu suatu sebutan kemarahan yang keras terhadap kelancangan mulut seorang lelaki yang meminta izin berzina dari Nabi SAW.

GOLDEN RULES

Namun Baginda itu orangnya penuh hikmah. Berhikmah dalam erti memberikan reaksi yang tepat dengan keperluan. Diajarnya anak muda itu dengan apa yang disebut hari ini sebagai The Golden Rules iaitu “treat others as you would like to be treated.”, bersikaplah kepada orang lain sebagaimana apa yang kamu harapkan dari orang lain untuk bersikap demikian terhadap dirimu”.

Justeru itu, Tabiat ke-5 iaitu “seek first to understand, then to be understood” diamalkan dengan begitu jelas dan meluas sekali di dalam catatan sirah kehidupan Baginda SAW yang bijaksana dalam membina keberkesanan dakwah dan hubungan sosialnya.

Bekalannya tentu sekali Tabiat yang pertama iaitu “be proactive” yang diertikan sebagai “keupayaan mengawal diri” atau secara teknikalnya bermaksud “tekan butang pause bila perlu, untuk memilih reaksi terbaik”

Pemuda itu dibawa mendekati Baginda SAW.

“Wahai pemuda,” sapa Nabi SAW. Lemah lembut, “Apakah kamu suka kalau perbuatan zina itu dilakukan orang lain terhadap ibumu?”

“Tidak, ya Rasulullah. Demi Allah yang menjadikan aku sebagai tebusan anda, saya tidak ingin itu terjadi,” jawabnya. “Begitu juga kebanyakan manusia, tidak menyukai atau menginginkan perbuatan zina itu dilakukan terhadap ibu mereka,” ujar Nabi.

“Apakah kamu senang zina itu dilakukan terhadap anak-anak perempuanmu kelak?” tanya Baginda selanjutnya.

“Sama sekali aku tidak menginginkan hal itu terjadi, ya Rasulullah. Demi Allah, bermimpi pun saya tidak ingin.”

“Begitu pula kebanyakan manusia, mereka tidak senang kalau sampai perbuatan zina itu terjadi pada anak-anak perempuan mereka. Apakah kamu senang kalau zina itu dilakukan terhadap adik beradik perempuanmu?” tanya Baginda lagi.

“Tidak, ya Rasulullah. Demi Allah saya tidak senang.”

“Begitu juga dengan orang lain, sama dengan anda, tidak senang kalau zina itu dilakukan terhadap adik beradik perempuan mereka. Apakah kamu ingin itu terjadi pada ibu-ibu saudaramu?”

“Tidak, ya Rasulullah. Demi Allah tidak,” tandasnya.

“Kebanyakan manusia juga tidak ingin itu terjadi pada ibu-ibu saudara mereka.”

Nabi saw. kemudian meletakkan tangan beliau pada tubuh pemuda itu dan mendoakannya: “Ya Allah, bersihkanlah hatinya, dan peliharalah kemaluannya serta ampunilah dosa pemuda ini”

Nyata sekali pendekatan Baginda SAW itu sentiasa menepati mad’u. Ia berhasil apabila Baginda tidak berdakwah secara satu hala. Tidak pula Baginda itu bersikap “oh aku ini Rasulullah. Seruanku benar, maka tiada kata dua buat kamu”.

Prinsip kebenaran tidak pernah digadai, namun pendekatan menyampaikan prinsip itu, Baginda kaya sekali dengan uswah hasanahnya.

AKIBAT DAKWAH TANPA HIKMAH

Seek First to Understand, then to be Understood, merupakan prinsip penting yang perlu dihayati oleh para pendakwah. Kegagalan memperkayakan pendekatan dakwah dan cara Islam dipersembahkan, bukan sahaja menjadikan manusia itu bosan dan lekas lari apabila didekati, malah pendekatan yang tidak relevan itu bakal menjadi fitnah kepada agama.

No comments: