Sunday, October 18, 2009

Kejujuran dalam bercinta

KEJUJURAN BUKTI CINTA SEJATI



PERCINTAAN bukan pasti berakhir dengan perkahwinan, malah ada pasangan yang bercinta bagai Laila dan Majnun tetapi akhirnya putus di pertengahan jalan.Justeru, apabila mengingatkan kisah percintaan lama, pasti ramai di antara kita yang tersenyum sendiri. Bagi lelaki dan wanita, mereka tentu mempunyai kisah percintaan sendiri yang kadangkala jika ditulis boleh dibuat novel.

Ada yang kecewa akibat bercinta mengambil keputusan terus membujang sehingga tua, seolah-olah cinta pertama itu terlalu agung dan tidak boleh diganti dengan percintaan lain. Namun, bagi kebanyakan kita, jodoh pertemuan ketentuan Ilahi. Justeru, apabila gagal dalam percintaan pertama, kedua dan seterusnya, masih ada ruang untuk mengubat kedukaan itu.

Apabila menjadi suami isteri, kadangkala teringat juga kisah percintaan lama. Ada di antara kita yang berani untuk memberitahu pasangannya mengenai cerita cinta yang pernah ditempuhi dan bagi yang lain menyimpan dalam memori sendiri. Setiap orang pasti memiliki kisah masa lalu, sama ada buruk atau indah. Timbul persoalan, adakah kisah masa lalu yang buruk itu perlu diceritakan kepada kekasih kita?

Adakah jika diceritakan akan membuktikan betapa dalamnya cinta anda dan pasangan? Atau adakah dengan membuka cerita cinta lama itu akan merosak dan memporak-porandakan hubungan anda?

Ada yang berkata, jika anda tidak menyampaikan kisah cinta masa lalu, maka anda akan menjadi seorang pembohong di hadapan orang yang anda cintai dan anda tidak mungkin dapat mencintainya sepenuh hati. Ini berlaku terutama kepada pasangan yang berkomitmen untuk bersama-sama selamanya, justeru setiap orang berhak mengetahui kisah pasangan yang dicintainya itu. Namun, sebelum anda ingin menceritakan kisah percintaan masa lalu, pastikan pasangan anda bersedia menerima segala masa lalu anda dan melupakannya!

Beberapa hal yang perlu diperhatikan untuk menyingkap masa lalu:

* Bagaimana keadaan anda ketika melalui saat-saat percintaan dengan bekas kekasih anda.
* Kehidupan sekarang lebih baik daripada masa lalu.
* Cerita percintaan masa lalu itu akan meningkatkan kualiti cinta anda.
* Ceritakan percintaan masa lalu yang boleh memberi manfaat kepada kehidupan anda dan pasangan ketika ini.
* Jalani hubungan anda dan pasangan dengan saling menanamkan kepercayaan dalam hubungan cinta.
* Tanamkan dalam diri hubungan ketika ini amat penting, justeru anda jujur untuk menceritakan kisah percintaan masa lalu.

Friday, October 16, 2009

Isu-Isu Ilmu Islam

Fadhilat Bersedekah
Terdapat dua jenis sedekah iaitu sedekah wajib dan sedekah sunat. Sedekah wajib ialah zakat yang perlu ditunaikan bila cukup syarat-syaratnya. Sedekah sunat ialah tidak terikat kepada apa-apa syarat, terpulang kepada keikhlasan orang yang hendak bersedekah. Namun begitu, sedekah mempunyai kelebihan atau fadhilat yang tertentu sebagai mana yang terdapat didalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

"Jagalah dirimu daripada api neraka meskipun hanya dengan sedekah separuh biji kurma. Jika tidak dapat (bersedekah benda) dengan kalimah tayyibah (perkataan yang baik)".


Diriwayatkan oleh Abu Daud At-Tirmizi, Abu Said al-Khudri berkata, "Setiap orang mukmin yang memberi makan kepada orang yang lapar maka Allah memberinya buah-buahan syurga pada hari kiamat. Setiap mukmin yang memberi minuman pada orang yang haus maka Allah akan memberinya minum daripada ar-Rahigil Makhtum pada hari kiamat dan setiap mukmin yang memberi pakaian kepada mukmin yang bertelanjang, Allah akan memberinya pakaian perhiasan syurga pada hari kiamat. "Bagaimanapun bersedekahlah kerana Allah bukan kerana sebab untuk berasa riak atau menunjuk-nunjuk. Sebaik-baiknya apa yang disedekahkan oleh tangan kanan tidak akan diketahui oleh tangan kiri, begitu juga sebaliknya.

Isu-Isu Negara Islam

Mendaulatkan Syariat Islamiyyah

Negara Islam ialah negara yang mendaulatkan Hukum Allah SWT, di mana ia mestilah dibuktikan dengan perkara-perkara berikut:

1. Syariat Islamiyyah hendaklah menjadi aqidah negara dan dari aqidah itulah ditegakkan Perlembagaan, Perundangan dan segala nizamnya. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:

"Dia telah mensyariatkan bagi kamu tentang agama apa yang telah dipesankan dengannya akan Nabi Nuh, yang diwahyukan kepadamu dan dipesankan dengannya akan Ibrahim, Musa dan Isa agar kamu menegakkan agama dan janganlah kamu berpecah-belah tentangnya."

Jika negara itu dari awal-awal lagi tidak meletakkan Islam ke taraf tersebut seperti hanya diberikan tempat dan ruang di dalam Perlembagaan, di samping mengizinkan hukum-hukum lain mengatasi Hukum Islam maka ia dianggap syirik dan tiada nilai keIslaman yang sebenar di dalam kegiatan Islam atau yang bernama Islam. Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu dan kepada Nabi-Nabi sebelummu, jika kamu syirik nescaya akan hapuslah amalan dan tentulah kamu termasuk di kalangan orang-orang yang rugi."

Apa yang tersebut bukanlah suatu kongkongan daripada keteguhan. Jalan yang ada di dalam Islam sudah cukup untuk memberi peluang yang seluas-luasnya kepada negara yang mengendalikan urusannya dan sebarang penerimaan yang lain adalah anggapan seolah-olah Islam ini tidak mempunyai kesempurnaan.

2. Syariat Islamiyyah itu hendaklah diletakkan paling tinggi. Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mendahului Allah dan Rasul-Nya dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui."

Iaitu janganlah ada hukum atau undang-undang lain yang mengatasi hukum atau undang-undang atau mengatasi syariat Allah SWT dan Rasul-Nya SAW. Adalah bertentangan dengan Islam bahkan menipu rakyat apabila sesebuah negara menjadikan Islam sekadar agama Negara atau Islam dijadikan salah satu sumber rujukan sahaja dan sebaliknya mengamalkan perkara-perkara yang bertentangan dengan Islam.

3. Perlaksanaan yang syumul (menyeluruh). Sebagaimana yang di fahami, Islam adalah agama yang syumul dan sempurna. Ajarannya mencakupi segala aspek kehidupan seperti aqidah, syariah, akhlak dan nizam, kerohanian dan kebendaan, kepentingan individu dan masyarakat. Tiap-tiap aspek ini berhubungkait di antara satu sama lain. Tanpa perlaksanaan yang menyeluruh nescaya akan gagal untuk mengatasi segala masalah. Oleh itu wajiblah bagi Negara Islam itu melaksanakan sifatnya yang syumul.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa ada perkara-perkara yang dilakukan secara tadaruj (berperingkat) tetapi penerimaannya sebagai dasar negara secara menyeluruh adalah wajib. Islam tidak mengiktiraf penerimaan secara serpihan sahaja. Sesungguhnya melaksanakan Islam secara serpihan sahaja adalah suatu penyelewengan.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan oleh Allah. Dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu mereka dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang telah diturunkan oleh Allah kepada kamu."

Jika membatalkan satu Hukum Allah di anggap menentang-Nya dan derhaka maka bagaimana dengan mereka yang membatalkan lebih dari satu?Sebarang perlaksanaan Islam oleh Negara Islam hendaklah menyatakan dasarnya yang jelas, niat yang ikhlas dan perancangan yang betul dan tepat dengan syariatnya.


Isu undang-undang Islam

Menyebut undang-undang Islam,kita tidak akan dapat lari daripada menyebut al-fiqh al-islam (Hukum Fiqh Islam) dan al-syariah al-islamiyyah (Syariah Islam).Al-Syariah membawa maksud setiap sesuatu yang yang diundang-undangkan oleh Allah di dalam urusan keagamaan melalui wahyunya sama ada berbentuk Al-Qur'an atau Sunnah.Dengan bahasa yang lebih mudah,al-syariah adalah hukum atau undang-undang Allah yang diturunkan kepada manusia meliputi segenap aspek kehidupan mencakupi persoalan akidah,syariat,muamalat dan sebagainya (Prof. Harun Din,2007).

Manakala Fiqah pula menurut Imam Ghazali adalah mengetahui dan memahami hukum2 syara' yang berhubung dengan perbuatan2 manusia yang mukallaf,sama ada berhubung dengan amal ibadat,kehakiman,ekonomi dsb.(Prof Harun Din,2007). Al-Qur'an dan Hadis adalah dasar dalam perundangan Islam,namun disebabkan oleh kebiasaannya ayat-ayat Al-Qur'an itu bersifat umum,maka penafsiran telah dibuat oleh ahli-ahli dalam bidang agama.Hukum yang terhasil daripada tafsiran itu (kebiasaannya berbeza antara mazhab) dipanggil Fiqah. Malah dalam hukum Hudud sendiri terdapat perbezaan pendapat dari segi pelaksanaan. sebagaimana firman Allah Taala:

Laki-laki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan keduanya (sebagai) pembalasan bagi apa yang mereka kerjakan dan sebagai siksaan dari Allah. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
(Al-Maidah:38)

Disebabkan 'potonglah tangan keduanya' bersifat umum,maka berlaku perbezaan pendapat pada tahap mana tangan perlu dipotong iaitu sama ada pada pergelangan tangan,lengan,siku dsb.Walaubagaimanapun,tafsiran yang berbeza itu tidak menjejaskan keaslian hudud.Hukumnya tetap sama iaitu 'potong tangan'.Tafsiran yang berbeza dibenarkan oleh syara' selagi mana ia tidak bertentangan dengan syariat Islam.

Isu Penghayatan Islam

Muhasabah Diri Sebelum Ajal

Hari-hari yang kita lalui dipentas dunia ini penuh dengan berbagai dugaan, macam-macam yang kita pelajari daripada kerenah, penglibatan dan penglihatan kita sehari-hari. Latihan yang kita terima amat berharga bak sebutir mutiara. Deretan untaian-untaian mutiara yang kita perolehi daripada sumber-sumber tersebut jika dijalinkan akan menjadi pedoman kepada kita dikemudian hari.

Walaupun manusia itu dibekalkan dengan pengalaman tersebut jika ianya tidak didasari dengan keimanan kepada Allah semuanya akan menjadi sia-sia bak kapas yang berterbangan ditiup angin. Keseluruhan amalan kita diatas muka bumi ini akan diperhitungkan olehNya diakhirat nanti. Segala bekalan yang akan kita bawa pastinya menjadi penyelamat kita di hari hisab nanti. Perlu kita ingat, apakah amalan-amalan yang kita perlu sediakan sebagai bekalan menemui Allah kelak dan apakah ianya sarat dengan amalan kebajikan ataupun kejahatan?

Jika diteliti daripada sirah Rasululllah, baginda amat menitikberatkan perkara ini sehingga dijelaskan oleh siti Aisyah r.a bahawa beliau pernah melihat baginda Rasulullah bersolat sehingga kakinya bengkak-bengkak. Ertinya disini walaupun baginda seorang manusia yang terpilih disisi Allah dan merupakan kekasihnya namun baginda tetap tekun melakukan ibadah-ibadah ditakuti baginda dikategorikan sebagai seorang hamba yang tidak bersyukur.Juga pernah dijelaskan oleh baginda darihal seseorang apabila ia menghapiri saat kematiannya dan saat ia akan dikuburkan dengan sabdanya:

"Mayat kekubur akan diiringi oleh tiga perkara, iaitu keluarganya, harta bendanya dan amalannya, yang dua akan pulang (kembali) dan satunya akan tinggal.Yang pulang adalah keluarga dan harta bendanya sedangkan yang tetap akan tinggal ialah amalannya".

Walaubagaimanapun terdapat beberapa amalan yang dapat meringankan kesakitan semasa menghadapi ajal. Antaranya amalan taubat yang diamalkan oleh hamba dapat meringankan seksa disaat kematiannya.Jika ia masih mempunyai dosa yang memerlukan kepada taubat bererti ia masih lagi belum bersiap sedia menemui Tuhannya. Menyedari hal yang sedemikian maka bersegeralah bertaubat, sebab mereka yang senantiasa dalam kekuatiran dan ketakutan maut akan menjemputnya akan beroleh kenikmatan hidup diakhirat kelak.

Isu Pembinaan Keluarga Islam

Penghayatan Islam Asas Rumahtangga Bahagia dan Anak-anak yang Berjaya

Dewasa ini, isu berkaitan keibubapaan dan institusi kekeluargaan bukanlah satu isu yang baru. Malah ia adalah isu yang selalu diperkatakan dan sering diperdebatkan. Institusi keluarga dan ibubapa merupakan satu institusi yang penting dalam sistem sosial Islam. Justeru itu Islam memandang mulia kedudukan, tugas, peranan dan tanggungjawab ibubapa kerana mereka adalah tunggak dan pencorak generasi masakini yang bakal menggalas kepimpinan negara pada masa hadapan. Merekalah yang menjadikan anak-anak sebagai aset negara yang tidak ternilai.

Ibubapa berfungsi sebagai penggerak yang paling penting dalam mendidik anak-anak dan keluarga ke arah membina kehidupan berumahtangga yang baik, sempurna dan diredhai oleh Allah. Skima penilaian ibubapa yang berjaya tidak meletakkan faktor kebendaan atau aspek lahiriah semata-mata tetapi lebih dari itu. Faktor keterampilan dan kemampuan untuk melahirkan dan membentuk satu generasi anak-anak yang berilmu, bertakwa, beriman dan beramal soleh adalah penentu dalam situasi dan ruang lingkup tugas dan tanggungjawabnya sebagai ibubapa. Inilah ukuran yang menjadi kriteria utama kejayaan mereka.

Jika kita mengukur dan menilai ibubapa berjaya berdasarkan kebolehan atau pencapaian aspek kebendaan semata-mata tanpa memikirkan soal adab, kesopanan, maruah dan budi pekerti sudah tentu ianya akan hanya melahirkan generasi ynag tempang dan seterusnya masyarakat yang pincang.
Ibubapa yang memahami, memperlengkapkan diri dan membentuk dengan asas-asas pengetahuan Islam untuk membina keluarga berlandaskan asas keagamaan akan dapat merealisasikan tuntutan sebenar dari perkahwinan tersebut.

Kemuliaan institusi ini dipelihara oleh Islam di mana ianya perlu dimulai dengan peraturan tertentu iaitu perkahwinan dan bukannya melalui hubungan sulit atau perzinaan. Maksudnya batasan dan kefahaman agama menjadi pendorong utama apabila perkahwinan hendak dilaksanakan.

Kita juga tidak mahu keruntuhan sistem kekeluargaan adalah berpunca dari faktor kurangnya pengetahuan atau didikan agama yang dimiliki oleh ibubapa. Hakikatnya ibubapa yang memiliki didikan agama dan menghayati falsafah perkahwinan dan diterjemahkan dalam rumahtangganya dapat menjalankan fungsinya dengan baik dalam kehidupannya. Ini adalah kerana pertimbangan soal dosa dan pahala adalah asas penting dalam menunaikan tugas dan tanggungjawab kita terhadap diri, keluarga masyarakat dan negara

Wednesday, October 14, 2009

Isu Penuntut Islam di IPTA

Isu gejala sosial di kalangan pelajar pada hari ini telah sampai ke tahap yang membimbangkan. Setiap hari kita mendapat maklumat mengenai isu gejala sosial yang melibatkan para pelajar khususnya pelajar di ipt iaitu di dalam media.Dahulunya isu keruntuhan moral di kalangan pelajar tidak mendapat liputan yang meluas dalam media. Liputan yang meluas ini sepatutnya memberi kesedaran dan menyentak kita bahawa isu keruntuhan moral ini perlu ditangani dengan segera. Isu keruntuhan moral di ipt iaitu dikalangan pelajar hari ini melibatkan salah laku kecil sehinggalah kepada perbuatan jenayah yang berat seperti membunuh, merogol, memukul dan bergaduh yang sering berlaku pada masa sekarang.Sebagai contoh, kes yang berlaku di Kedah, seorang guru disiplin Sekolah Menengah Datuk Syed Omar berumur 39 tahun dibelasah sehingga mengalami kecederaan yang parah di muka dan badan kerana menangkap seorang pelajar yang lari daripada majlis perhimpunan.

Belia dibelasah, ditendang dan ditumbuk bertubi-tubi oleh dua orang pelajar tingkatan lima ketika majlis perhimpunan berlangsung. Bagi pelajar IPT (Institut Pengajian Tinggi)pula, semakin ramai yang terjebak dengan pelbagai gejala sosial seperti khalwat, merempit, melepak dan mengalami keruntuhan akidah. Mereka mudah terjebak dengan perkara-perkara ini kerana terpengaruh dengan faktor persekitaran dan rakan sebaya. Ini dapat dilihat sewaktu sambutan ambang kemerdekaan di KLCC tau Dataran Merdeka. Mereka menyambut kemerdekaan dengan mengadakan pesta yang bercampur lelaki dan perempuan, berpelukan, menari dan ada yang minum arak sehingga mabuk. Pelajar IPT juga banyak terlibat dengan seks luar nikah sehingga menyebabkan mengandung. Mereka juga sanggup membunuh dan membuang anak yang tidak berdosa itu untuk menutup perbuatan jahat mereka.


Apa yang menyedihkan, kebanyakan daripada mereka adalah anak-anak Melayu yang menuntut di ipt-ipt tempatan. Apa yang menjadi persoalan di sini sejauh manakah mereka mengamalkan apa yang telah mereka pelajari?. Mereka sepatutnya menjadi harapan dalam pembangunan keluarga dan negara. Banyak pihak terutamanya Badan NGO telah melakukan usaha bagi menyelamatkan mereka tetapi gejala ini semakin merebak dan sukar untuk dibendung. Oleh itu semua pihak haruslah memainkan peranan terutamanya ibu bapa dalam pendidikan terhadap keluarga agar gejala ini dapat diatasi dengan sempurna iaitu dengan memberi didikan Agama agar anak-anak terdidik dari kecil lagi dengan didikan yang benar.