Mendaulatkan Syariat Islamiyyah
Negara   Islam ialah negara yang mendaulatkan Hukum Allah SWT, di mana ia mestilah   dibuktikan dengan perkara-perkara berikut:
1.       Syariat Islamiyyah hendaklah   menjadi aqidah negara dan dari aqidah itulah ditegakkan Perlembagaan,   Perundangan dan segala nizamnya. Sebagaimana firman Allah SWT   yang bermaksud:
"Dia telah mensyariatkan bagi kamu tentang   agama apa yang telah dipesankan dengannya akan Nabi Nuh, yang diwahyukan   kepadamu dan dipesankan dengannya akan Ibrahim, Musa dan Isa agar kamu   menegakkan agama dan janganlah kamu berpecah-belah tentangnya."
Jika negara itu dari awal-awal lagi tidak meletakkan Islam   ke taraf tersebut seperti hanya diberikan tempat dan ruang di dalam   Perlembagaan, di samping mengizinkan hukum-hukum lain mengatasi Hukum Islam   maka ia dianggap syirik dan tiada nilai keIslaman yang sebenar di dalam   kegiatan Islam atau yang bernama Islam. Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu   dan kepada Nabi-Nabi sebelummu, jika kamu syirik nescaya akan hapuslah amalan   dan tentulah kamu termasuk di kalangan orang-orang yang rugi."
Apa yang tersebut bukanlah suatu kongkongan daripada   keteguhan. Jalan yang ada di dalam Islam sudah cukup untuk memberi peluang   yang seluas-luasnya kepada negara yang mengendalikan urusannya dan sebarang   penerimaan yang lain adalah anggapan seolah-olah Islam ini tidak mempunyai kesempurnaan.
2.       Syariat Islamiyyah itu hendaklah   diletakkan paling tinggi. Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah   kamu mendahului Allah dan Rasul-Nya dan bertaqwalah kepada Allah.   Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui."
Iaitu janganlah ada hukum atau undang-undang lain yang   mengatasi hukum atau undang-undang atau mengatasi syariat Allah SWT dan   Rasul-Nya SAW. Adalah bertentangan dengan Islam bahkan menipu rakyat apabila   sesebuah negara menjadikan Islam sekadar agama Negara atau Islam dijadikan   salah satu sumber rujukan sahaja dan sebaliknya mengamalkan perkara-perkara   yang bertentangan dengan Islam.
3.       Perlaksanaan yang syumul   (menyeluruh). Sebagaimana yang di fahami, Islam adalah agama yang syumul dan   sempurna. Ajarannya mencakupi segala aspek kehidupan seperti aqidah, syariah,   akhlak dan nizam, kerohanian dan kebendaan, kepentingan individu dan   masyarakat. Tiap-tiap aspek ini berhubungkait di antara satu sama lain. Tanpa   perlaksanaan yang menyeluruh nescaya akan gagal untuk mengatasi segala   masalah. Oleh itu wajiblah bagi Negara Islam itu melaksanakan sifatnya yang   syumul.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa ada perkara-perkara   yang dilakukan secara tadaruj (berperingkat) tetapi penerimaannya sebagai   dasar negara secara menyeluruh adalah wajib. Islam tidak mengiktiraf penerimaan   secara serpihan sahaja. Sesungguhnya melaksanakan Islam secara serpihan   sahaja adalah suatu penyelewengan.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di   antara mereka menurut apa yang diturunkan oleh Allah. Dan janganlah kamu   mengikut hawa nafsu mereka dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka supaya   mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang telah diturunkan oleh   Allah kepada kamu."
Jika membatalkan satu Hukum Allah di anggap menentang-Nya dan derhaka maka   bagaimana dengan mereka yang membatalkan lebih dari satu?
 
 
No comments:
Post a Comment