Wednesday, June 1, 2011

Kasih Ibu Membawa ke Syurga


Kasih dan sayangnya ibu terhadap anak sukar digambarkan kerana perasaan ini adalah kurniaan Allah kepada seorang wanita yang bergelar ibu.Keperitan dan kesusahan yang dirasai oleh ibu ketika mengandung dan membesarkan anak juga tidak dapat dibayangkan sehingga seseorang itu sendiri menjadi ibu.Oleh itu, penghormatan terhadap ibu perlu diutamakan berbanding hak kepada seorang bapa.
Perkara ini berasaskan hadis sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang mafhumnya:
Ada seorang lelaki datang bertemu Rasulullah s.a.w., lalu bertanya: Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling berhak untuk aku hormati?
Baginda menjawab: Ibumu.
Lelaki itu kembali bertanya : Kemudian siapa?
Nabi menjawab: Ibumu.
Lelaki itu terus bertanya : Kemudian siapa?
Nabi menjawab lagi : Ibumu.
Sekali lagi lelaki itu bertanya: Kemudian siapa lagi?
Nabi menjawab pula: Kemudian bapamu.
Begitulah kedudukan seorang ibu pada pandangan Rasulullah. Betapa mulianya seorang ibu hinggakan Nabi Muhammad meletakkannya sebagai pihak ketiga yang perlu dihormati selepas Allah dan Baginda.
Kita juga pernah mendengar kata-kata, syurga itu di bawah telapak kaki ibu. Begitu pentingnya kita menghormati ibu bagi mendapat keredaan Allah.



Islam menentang keras penganutnya menyergah atau menyakiti ibu sendiri, sekalipun dengan perkataan ah! Apa lagi, sekiranya seorang ibu itu dimaki-hamun atau disisihkan oleh anaknya sendiri.Allah berjanji bahawa setiap orang yang melakukan penderhakaan akan diberi pembalasan setimpal dengan perbuatan mereka sama ada di dunia atau akhirat.Rasulullah bersabda yang bermaksud:


Tiga manusia tidak akan masuk syurga, iaitu orang yang menderhakai kedua-dua ibu bapanya, lelaki yang tidak menjaga maruah keluarganya (dayus) dan perempuan yang menyerupai lelaki.
(Riwayat Nasa'i, Bazzar dan al-Hakim).

Al-Hakim juga meriwayatkan hadis Baginda yang bermaksud : Semua dosa akan ditangguhkan Allah, yakni balasan menurut kehendak-Nya, hingga ke hari kiamat, kecuali balasan menderhaka kepada kedua ibu bapa. Maka sesungguhnya Allah menyegerakan balasan kepada pelakunya pada masa hidupnya sebelum mati.Dua kisah berikut cukup untuk mengingatkan kita supaya menghormati, menyayangi dan melebihkan ibu. Ia patut dijadikan iktibar supaya tidak sekali-kali menderhakai ibu.

l- Kisah yang berlaku kepada ahli ibadat daripada keturunan Bani Israel bernama Juraij.Beliau berhadapan dengan fitnah besar hanya kerana mementingkan sembahyang sunat daripada menyahut panggilan ibunya.Akhirnya, beliau difitnah oleh seorang pelacur yang mendakwa mereka ada hubungan sulit hingga melahirkan anak. Mujurlah dengan kekuasaan Allah, bayi itu boleh bercakap dan menceritakan siapakah bapanya yang sebenar.

2- Kisah Alqamah yang berlaku pada zaman Rasulullah juga perlu diinsafi kita supaya tidak menjadi anak derhaka.Hanya kerana anaknya melebihkan isteri daripada dirinya, ibu Alqamah tidak mahu memaafkan anaknya hingga tertahan ketika sakratul maut.Rasulullah kemudian menyatakan sekiranya si ibu tidak mahu memaafkan anaknya yang sedang nazak itu, maka anak itu akan dibakar hidup-hidup.Membayangkan kesengsaraan anaknya yang akan dibakar hidup-hidup, hati si ibu menjadi luluh dan cair. Seterusnya, memaafkan dosa dan kesalahan anaknya.Akhirnya, Alqamah meninggal dunia dengan mendapat kemaafan ibunya dan mati dalam husnu al-khatimah.

Seseorang anak juga sewajarnya memahami tabii kehidupan manusia iaitu ibu bapa mereka akan tiba ke peringkat usia tua, tiada kekuatan, semakin lemah, memerlukan penjagaan dan mudah tersinggung.Kesedaran ini boleh dijadikan garis panduan untuk menjaga dan memberi layanan lebih mesra kepada ibu bapa seperti belaian kasih mereka kepada anak-anak ketika kecil.Islam turut menentang keras warga tua dijadikan mangsa maki-hamun.
Dalam aspek ini, penghormatan tidak saja ditekankan kepada ibu bapa tetapi mereka yang lebih muda perlu juga menghormati golongan yang lebih tua.Bukhari dan Muslim meriwayatkan, dalam sebuah hadis, Rasulullah bersabda, yang bermaksud :

Sesungguhnya sebesar-besar dosa, apabila seorang lelaki mengutuk ibu bapanya. Ramai orang berasa takjub bagaimana seorang yang cukup akalnya, beriman kepada Allah boleh mengutuk ibu bapanya, padahal merekalah yang menyempurnakan kehidupan anak.Lantas Baginda ditanya : Bagaimana seorang itu mengutuk ibu bapanya?Jawab baginda : Apabila orang itu memaki-maki ayah orang lain, lalu orang lain itu membalas maki ayahnya. Kemudian dia memaki-maki ibu orang lain, lalu orang lain itu membalas maki ibunya!Nabi Muhammad pernah bersabda bermaksud: Sesiapa ketika paginya mendapat keredaan ibu bapa, nescaya dibukakan baginya semua pintu syurga. Sebaliknya, jika ketika pagi lagi sudah menyakiti hati ibu bapa, nescaya akan dimasukkan ke dalam neraka.


Ibu bapa orang yang wajib kita hormati dan taati. Perintah mentaati kedua-duanya jelas termaktub dalam al-Quran dan hadis. Buatlah apa yang disuruh asalkan suruhan itu tidak menjurus kepada sesuatu yang mungkar.Mengecilkan hati, melawan atau mengherdik orang tua dianggap sebagai derhaka. Menderhaka kepada ibu bapa dosa besar dan tidak akan mencium bau syurga, meskipun banyak beribadat Allah.Allah tidak menerima ibadat orang yang derhaka kepada ibu bapa.
Dalam satu hadis, Nabi Muhammad ada bersabda, keredaan Allah bergantung kepada keredaan kedua-dua ibu bapa. Ini bermakna jika ibu bapa suka kepada kita, Allah turut meredai kita. Sebaliknya, jika mereka marah dan berkecil hati kepada kita, Allah turut memurkai kita.
Diriwayatkan, pernah seorang sahabat mengadu kepada Rasulullah mengenai perangai ibunya yang suka meminta-minta kepadanya.Baginda marah dan menempelak sahabat itu dengan mengatakan bahawa bukan saja dalam harta, malahan dalam dirinya sendiri ada hak ibu bapanya.Kita sebenarnya tidak berdaya membalas jasa ibu dan bapa.

Hakikat ini perlulah kita insafi. Jika mereka tidak wujud di dunia, kita juga tidak akan lahir di dunia ini. Oleh itu, kita digalakkan mendoakan mereka setiap kali selepas solat.Jika mereka masih hidup, layanlah mereka dengan sebaik mungkin.Tetapi jika sudah meninggal dunia, selalulah menziarahi tanah perkuburan di samping mendoakan kesejahteraannya.Buatlah sebarang kebajikan seperti sedekah dan niatkan pahala untuk arwah ibu dan bapa. Mereka akan menerima pahala itu.

Ingatlah pesanan Rasulullah : Khabarkan berita gembira ini kepada mereka yang berbuat baik kepada ibu bapa: Buatlah apa saja bahawasanya Allah mengampuni mereka.Dan khabarkan berita buruk kepada mereka yang menderhakai ibu bapa, buatlah seberapa banyak ibadat yang disukai, bahawasanya Allah tidak akan memberikan keampunan sedikitpun kepadanya.
Marilah kita merenung sepotong ayat ayat al-Quran menerusi ayat 14 surah Luqman :


“Dan Kami mewasiatkan (memerintahkan) kepada manusia itu supaya berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya mengandungnya dengan menderita kelemahan demi kelemahan, dan cerai-susukannya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibu bapamu ! kepadaKu tempat kembali”. (Lukman:14).


Sesungguhnya binasalah mereka yang mempunyai ibu bapa yang sudah lanjut usianya, sedangkan mereka tidak dapat berbakti kepada keduanya lalu perkara tersebut menjadi ujian kepada anak-anak tadi yang menyebabkan mereka terhalang daripada mencium Syurga Allah.
Ingatlah firman Allah ini : Ertinya: “Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain daripadaNya dan kepada kedua ibu bapa hendaklah berbuat baik. Dan kalau salah seorang diantara keduanya telah mencapai usia tua, maka janganlah engkau mengatakan kepada keduanya ‘cis’ dan janganlah engkau menengking keduanya, tetapi hendaklah engkau berkata kepada keduanya dengan perkataan yang hormat. Dan turunkanlah sayap merendahkan diri terhadap keduanya dengan belas kasihan dan katakanlah: Tuhanku, kasihanilah kiranya keduanya, sebagaimana keduanya telah membelaku dengan penuh kasih saying semasa aku kecil.” (Al-Isra’: 23-24).


Sebenarnya kita tidak berdaya membalas jasa ibu dan bapa. Hakikat ini perlulah kita insafi.Oleh sebab itu, untuk membalas jasa mereka, kita digalakkan mendoakan mereka setiap kali selepas solat samaada mereka masih hidup atau telah meninggal dunia.Jika mereka masih hidup, layanilah mereka dengan sebaik-baik mungkin.Fahamilah hakikat bahawa, setiap kita adalah anak dan setiap kita juga dalam masa yang sama sebagai seorang ayah.Sebagaimana kita mahukan anak-anak kita berbakti kepada orang tuanya, begitulah halnya dengan kemahuan kedua orang tua kita.Rebutlah peluang menjaga dan memelihara mereka khususnya semasa mereka telah lanjut usia.


Janganlah biarkan hati mereka tertutup untuk tinggal atau singgah dirumah kita disebabkan layanan yang kurang menarik terhadap mereka.Akhir sekali kepada ibu, semoga kasih sayang yang diberi membawa anak ke syurga, kerana syurga adalah tempat idaman yang diidam-idamkan oleh seluruh mereka yang bergelar.
Kepada anak pula, kasihlah ibu tanpa berbelah bagi, kerana kasih sayang terhadap ibu itu dan sebaliknya akan membawa anda ke syurga.

Cinta Allah Adalah Cinta Hakiki


CINTA monyet adalah asam garam yang pernah dilalui pada zaman remaja. Apabila sudah bercinta maka bermulalah episod saling merindui dan tanda seseorang itu sudah ‘diserang’ penyakit angau. Untuk mendapat cinta, manusia berusaha apa saja cara tidak kira di mana dan masa asalkan sasaran cinta tercapai. Dalam mencari cinta sejati manusia, bukan hanya remaja, kadang-kadang tersasar dalam erti sebenar cinta.

Kita hanya bergelut mencari cinta manusia yang tidak bertahan lama dan hanya kadangkala bersifat lipstik. Lupa kepada cinta agung yang menjadi sumber segala cinta. Cinta Allah adalah cinta hakiki. Kemuncak segala motivasi, samudera segala bekalan dan kesudahan segala keindahan. Cinta yang membawa kepada segala kebaikan dan berkesudahan menikmati dua syurga iaitu syurga dunia dan akhirat.

Jika Allah adalah cinta segala cinta, dunia akan bertenggek di menaranya. Yang patut diusaha dengan sekuat tenaga, bagaimana hendak dapat cinta Allah. Sebagai panduan, di sini dijelaskan beberapa faktor dan resipi bagaimana hendak mendapatkan cinta agung Allah.

Dengan membaca al-Quran serta merenung dan memahaminya. Berinteraksi dengan al- Quran sama seperti berinteraksi dengan Allah. Sebab kitab ini adalah penghubung di antara makhluk dengan pencipta-Nya. Dalam hadis Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Orang yang paling baik di kalangan kamu ialah yang mempelajari al-Quran dan yang mengajarnya.”

Kemudian dalam keterangan lain Rasulullah menjelaskan: “Bacalah al-Quran kerana ia akan memberi syafaat (pertolongan) kepada siapa sahaja yang membacanya pada hari akhirat kelak.” Di rumah sahabat dulu, biasanya tergantung al-Quran dan pedang. Kenapa dua-dua ini digantung? Sebabnya pedang digunakan untuk pertahanan dan membuka negeri manakala al-Quran untuk membuka hati.

Sekiranya kita boleh baca akhbar dan majalah, malah menghabiskan duit untuk mengumpul gambar penyanyi takkanlah tidak ada masa sebentar untuk baca al-Quran. Hati yang tidak dihuni dengan al-Quran akan dipenuhi kemunafikan, khayalan gangguan dan kemurungan. Maka isilah hati kita dengan ayat al-Quran.

Kisah seorang sahabat bernama Ubay yang pernah namanya disebut Allah kerana suka membaca al-Quran. Apabila Nabi beritahunya, Ubay terus menangis. Nabi uji Ubay dengan soalan, apakah ayat al-Quran yang paling agung. Beliau menjawab: “Ayat kursi.” Banyakkanlah membaca ayat ini.

Selain itu, jika hendak dapat cinta Allah seseorang itu perlu solat malam (Qiyamullail). Kita memang biasa bangun malam atau berjaga malam. Tapi bukan untuk solat, tetapi untuk tengok bola, menonton filem, berborak serta melepak. Qiyamullail tidak semestinya bangun pada jam tiga atau empat pagi.

Cukup sekadar sembahyang dua rakaat sebelum masuk waktu Subuh sudah memadai. Ketika menonton siaran bola sepak pula, ketika perlawanan berhenti pada waktu rehat kita ambil wuduk dan bersolat sunat dua rakaat.

Antara cara yang boleh dilakukan ketika Qiyamullail ialah:

1. Berniat untuk bangun solat malam dan berdoa.

2. Jangan melakukan dosa pada siang hari sebab dosa pada waktu siang hari akan ikat rohani kita daripada bangun malam.

3. Tidurlah awal sedikit. Jika tidur jam satu atau dua pagi kemudian hendak bangun Qiyamullail memang tidak jadi.

4. Tidur sekejap waktu tengah hari.

Justeru, hendak dapat cinta Allah ialah dengan merenung ayat Allah. Merenung ayat Allah maknanya merenung kejadian yang Allah ciptakan seperti kejadian langit yang tiada bertiang tetapi boleh tertegak dengan kukuhnya. Allah sembunyikan malam dan datangkan cerah dan siang. Bagaimana Allah jadikan kita? Besarkan kita? Kemudian usia kita menginjak remaja, akhirnya menjadi tua.

Kemudian bagaimana Allah jadikan tumbuhan nampak sama, tetapi tidak serupa? Buah rambutan nampak serupa, tetapi tidak sama. Semua ini akan mendekatkan kita kepada Allah. Kita perlu merasa betapa lemah dan kerdilnya diri kita terhadap keagungan Allah. Maka jika kita cinta kepada Allah maka Allah pasti akan membalas semula cinta kita.

Renungan Bersama

kadangkala Allah sembunyikan matahari lalu digantikanNya dengan ribut petir yang dasyat serta hujan yang lebat mencurah-curah. kita menangis dan tertanya-tanya sendirian...kemana hilangnya cahaya matahari yang selama ini gagah menyinari alam fana.namun setelah hujan berhenti melanda dan guruh juga berhenti bersuara,kita akan tersenyum kerana rupa-rupanya Allah menghadiahkan kepada kita pelangi yang indah serta mampu memukau pandangan mata. begitu juga kehidupan yang kita lalui di bumi yang fana ini. setiap musibah yang berlaku atau melanda diri kita,haruslah kita ingat serta bersabar dengan ujian Allah keran setiap yang berlaku itu pastikan ada hikmah disebaliknya. percayalah pada ketentuan qada' dan qadar Ilahi kerana apa jua yang tersurat untuk kita pasti ada hikmah yang tersembunyi dan percayalah bahawasanya Allah itu Maha Bijaksana dan merupakan sebaik-baik perancang"