Tuesday, September 29, 2009

Info Dakwah

Dakwah Berkesan jika fahami jiwa remaja
DULU pernah berdiri seorang pemuda berumur 25 tahun yang gagah berani meredah samudera Atlantik sambil mengangkat panji Islam yang dijunjung tinggi sambil berseru:“Demi Allah SWT, jika aku mengetahui bahawa di seberang lautan ini ada daratan, nescaya akanku harungi dengan kudaku atas nama Lailahaillah.”Akhirnya Afrika jatuh ke tangan pemuda itu. Dialah Panglima ulung, Uqbah bin Nafi. Tapi kini, berdiri seorang pemuda cukup berani, menjelajah sepanjang jalan di kegelapan malam, bangga menjadi seorang lelaki yang tidak takut mati.Demi gemuruh tepukan dan sorakan teman yang tidak siuman dan pembebasan diri daripada tekanan kehidupan. Dia berhasil menjadi ‘raja’ jalanan dengan enjin kuda canggih yang boleh menerbangkan nyawa seketika.Lelaki itu bangga berasa diri hebat tetapi tidak tahu untuk apa kebanggaan itu. Dan sampai bila akan berakhir kepalsuannya. Sampai bila kepuasan itu boleh mengubat hatinya. Pemuda yang merempit semakin ditohmah dan dikeji, mereka semakin berani, siapakah yang boleh memahami jiwa pemberontak ini?Sebahagian yang lain masih bersekolah dan terbabit pula dengan gangsterisme dan vandalisme. Mengapa ibu bapa, guru, dan kita sendiri sebagai anggota masyarakat tidak mampu membimbing dan mendidik mereka? Di mana silapnya?Rasulullah SAW pernah berhadapan dengan pemuda yang keras dan ganas seperti Umar. Bahkan pemuda itu pernah berjanji akan membunuhnya. Dengan apakah Nabi SAW menakluki hati sekeras karang milik Umar?Dan sudah terbukti pemuda berani bangsa Quraisy yang ditakuti akhirnya bertekuk lutut di hadapan Baginda SAW. Apakah rahsia yang tersimpan dalam dakwah dan bimbingan Rasulullah SAW kepada setiap pemuda itu?Pendekatan psikologi amat diperlukan oleh orang yang gagal dalam hidup. Mereka mengharap bimbingan bukan tohmahan. Bimbingan terbaik adalah melalui penaklukan hati dan perasaan. Pepatah mengatakan, ‘Sesiapa yang mahu menakluk seseorang maka kuasailah hatinya’.Pemuda bermasalah ini mahu melihat kita dengan wajah yang ramah dan mesra. Wajah yang apabila dipandang mengingatkan mereka kepada Allah Taala. Tiada sedikitpun iras kebencian yang dipamerkan. Sikap mahu bersahabat dan prihatin perlu ditonjolkan.Mereka sebenarnya dalam keadaan tenat, kehilangan arah dan tidak tahu bagaimana mahu menyelamatkan diri daripada kancah kejahatan. Jika orang yang berada di sisi mereka hanya mahu menghukum dan mengeji saja, mustahil mereka boleh bangkit melainkan dengan ketentuan Allah SWT.Anak kita di rumah amat dahagakan kasih sayang ikhlas ibu bapanya. Bilakah kali terakhir kita sudi mendengar luahan hati mereka? Atau mereka takut mengutarakan maksud di hati disebabkan gaya kepimpinan kita yang kuku besi?Jika Rasulullah SAW menjawab pertanyaan seorang anak mengenai siapakah yang paling utama untuk dicurahkan kepadanya kasih sayang, maka sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Ibumu, ibumu, ibumu dan ayahmu.”Bagaimana anak boleh mencurah kasih jika ibu bapanya adalah musuh utamanya. Herdikan dan caci maki menjadi santapan utama setiap hari. Ibu yang tertekan dan ayah yang serba tidak kisah apa yang terjadi di rumah. Anak menjadi mangsanya, keluar daripada rumah membawa hati yang penuh benci dan mahu memberontak. Semuanya bermula dari rumah.Anak itu lahir dan membesar tanpa iman kerana kedua-dua orang tuanya tidak menyediakan iman sebagai keperluan asas untuk mereka. Ada yang sibuk mencari makanan berkhasiat dan makanan tambahan yang terbaik untuk anak namun tiada tergerak hatinya memilih iman sebagai penyihat hati anak.Masa pun memainkan peranan penting untuk mengukuhkan hubungan kita dengan mereka. Sudahkah kita sentiasa menjadikan masa untuk bersama anak sebagai keutamaan dalam hidup ini? Mereka perlukan kita sebagai kaunselor dan mentor terbaik, mereka perlukan insan yang paling istimewa dan ikhlas menyayangi. Sayang hingga ke syurga dengan cara mendidik ajaran agama secara sempurna.Mengapa agama menjadi pilihan yang tidak begitu diminati generasi muda masa kini? Apakah kerana gaya persembahan dakwah yang kurang sesuai dengan kecenderungan pemuda-pemudi kita? Tidak salah jika nilai ajaran agama diserap melalui filem, drama, muzik atau bahan bacaan berunsur hiburan.Pendekatan dakwah yang fleksibel akan menarik minat remaja. Bukankah Rasul SAW pernah berwasiat kepada seorang sahabatnya ketika mahu menyampaikan Islam: “Permudahkanlah jangan menyusahkan.”Masalahnya, kini generasi muda mengenal Islam dengan cara ditakut-takutkan yang ini haram, yang itu haram.Penulis ialah pendakwah dari Negeri Sarawak, boleh dihubungi melalui juanda@kutpm.edu.my

Monday, September 28, 2009

Isu Politik Islam

Isu pegang lilin hanya bersifat politik - Nik Aziz

KOTA BHARU, 23 Julai (Hrkh) - Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan mereka yang menghebohkan isu anggota parlimen Bukit Gantang, Dato' Seri Nizar Jamaluddin memegang lilin pada satu program di Ipoh lebih bersifat politik.
Iklan

Mursyidul Am PAS itu berkata, tindakan Menteri Besar Perak, Dato' Seri Dr Zambry Abdul Kadir memintanya mengeluarkan fatwa mengenai perkara itu tidak lebih sebagai kenyataan politik. "Zambry ni orang politik bukan orang yang kaji Islam, apa kena mengena dengan fatwa agama, fatwa demokrasi pun dia tak pakai, lagi pun keluar fatwa ni tugas mufti," ujarnya ketika diminta mengulas kenyataan Zambry yang memintanya mengeluar fatwa berhubung isu memegang lilin.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kelantan 2009 di Dataran Warisan di sini, petang ini. Menteri Besar Perak sebelum ini meminta ulama PAS mengeluarkan fatwa berhubung tindakan Nizar memegang lilin ketika hadir pada satu majlis di Perak Jumaat lepas. Adun Titi Serong, Khalil Idham Lim hari ini menafikan majlis menyalakan lilin yang turut dihadiri beliau dan Nizar majlis berkabung memperingati kematian Teoh Beng Huat. Menurutnya gambar tersebut merupakan majlis menyalakan lilin diadakan semasa sesi sidang media 17 Julai lalu bertempat di Wisma DAP Ipoh.
Idham juga menjelaskan amalan memegang lilin dan colok bagi orang Cina adalah budaya nenek moyang yang sudah turun temurun dan bukan amalan agama.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga berkata, sekiranya beliau dijemput masyarakat Hindu atau Cina ke tempat ibadat mereka, beliau akan bertanya terlebih dahulu adakah program keagamaan atau adat resam. "Saya kata kalau soal agama saya tak boleh pergi, tetapi adat resam atau budaya saya boleh pergi. "Tiap-tiap tahun anak cucu kita menyambut ulang tahun kelahiran mereka dengan memacak lilin atas kek mengikut umur. "Kalau setahun sebatang lilin kemudian menghembuskan, jadi lilin ni digunakan sebagai satu perkara yang simbolik terhadap sesuatu perkara lain. Begitu juga dalam masalah yang diheboh sekarang ni," ujarnya.
Menurutnya Rasulullah saw menghantar surat pada raja-raja Mesir, Iran dan India menggunakan ayat al-Quran. - mj _

Saturday, September 12, 2009

Pendidikan anak

Mendidik Anak Dengan Cinta

img_0145

“Kenape Abdullah picit dakwat tu? Kan dah tumpah dah.”

“Minta maaf ummi, Abdullah tak sengaja.”

“Ummi nak marah Abdullah boleh? Tadikan ummi dah cakap jangan main dengan dakwat tu.”

“Sekarang ni kemas balik. Abdullah yang tumpahkan, lap balik sampai bersih.”

“Ok, Abdullah lap”

“tak boleh la, ummi, tak boleh la. Abdullah tak pandai, ummi buat lah”

“Kan Abdullah yang tumpah kan tadi?, Abdullah la yang kene lap. Siape yang tumpahkan die kene lap. Mari sini ummi tunjukkan.”

Biasanya ibu bapa lebih mudah memarahi anak dan melarang mereka dari meneroka dunia sekeliling mereka kerana itu lebih mudah buat kedua ibu bapa. Anda bagaimana?

Apakah anda ingin mendidik anak dengan cara yang mudah atau cara yang berkesan?

Orang yang ingin mendidik anak dengan mudah lebih suka anak mereka menjadi anak yang selalu duduk diam sahaja, menurut kata2 kedua ibubapa dengan perasaan takut. Apabila anak melakukan kesilapan, hukum mereka supaya mereka tahu apa yang mereka buat itu akan menyebabkan mereka dihukum, jadi mereka takkan mengulangi perbuatan itu lagi.

Maka lahirlah anak yang tidak melakukan perbuatan yang dilarang kerana takut akan hukuman dan ancaman dari kedua ibubapa. Diluar dari lingkungan ibubapa mereka pun bermaharaja lela berbuat sesuka hati.

Atau kebarangkalian lain, lahirlah anak yang selalu memberontak kerana mereka belajar bahawa cara untuk menyuruh orang lain melakukan apa mereka inginkan adalah dengan cara memarahi mereka, sama seperti yang dilakukan kepada mereka.

Seorang anak belajar bagaimana bertindak dengan orang sekelilingnya adalah daripada bagaimana orang sekelilingnya memperlakukan dirinya. Seorang anak yang selalu dimarahi akan belajar bahawa untuk mendapatkan sesuatu dia juga perlu memarahi orang lain. Seorang anak yang selalu dimanjai akan belajar bahawa untuk mendapatkan sesuatu dia tidak perlu berusaha apa-apa. Dan begitulah seterusnya.

Bagaimana mendidik anak agar menjadi matang sebelum usia mereka? Layanlah mereka seperti anda melayan seorang dewasa yang belum mengerti apa-apa.

Bagaimana kita menyinggapi seorang kawan yang menumpahkan dakwat di atas meja kita? Terus memarahi dan mencubit mereka? Apakah logik dari perbuatan itu yang ingin kita tanamkan pada seorang anak?

Seorang anak kecil belum lagi mahir mengawal saraf otot mereka dengan baik. Disebabkan itu, pergerakan mereka tak selancar orang dewasa. Air tertumpah, barangan terjatuh, alatan-alatan yang pecah dan sebagainya akan sering menjadi sebahagian dari jadual sehariannya. Kita yang dewasa pun kadang-kala secara tidak sengaja memecahkan barangan rumah, apatahlagi mereka.

Seorang anak kecil mempunyai perasaan ingin tahu yang membuak-buak. Disebabkan perasaan inilah mereka dapat berkembang dengan pesat, belajar dengan pantas dan menuasai ilmu kehidupan. Semua yang berada di sekeliling mereka menimbulkan tanda tanya.

“Ummi, tu ape tu yang hitam tu?”

“Ummi kenape ikan tu duduk dalam air?”

“Abi kenape abi solat?”

Menghalang mereka daripada meneroka alam disekitar mereka bererti menghalang suatu kehendak yang membuak-buak dari dalam jiwa mereka. Untuk lebih mudah difahami lagi, ianya bagaikan menghalang seorang yang lapar dari makan dan seorang yang mengantuk dari tidur.

“Tapi kalau tak halang, habislah bersepah rumah. Berteraburlah semua barangan. Tak larat lah asyik nak kene kemas rumah jer.”

Hmm soal ini, kene bijak lah dalam mengaturkannya. Banyak penyelesaian yang ada, antaranya :

1. Mengajarkan mereka agar bertanggung jawab mengemaskan kembali barangan yang telah dia sepahkan. Anda boleh menjadikan mengemas itu satu perbuatan yang seolah-olahnya sangat menyeronokkan. Boleh juga memberikan syarat kepada mereka kalau nak main kene kemas balik selepas habis main. Menyediakan satu ruang khusus untuk mereka bermain juga satu kelebihan.

2. Sediakan barangan permainan yang mencukupi buat mereka. Maka mereka tak perlu bereksperimen dengan barangan kita yang lain yang lebih berharga. Tapi biasanya anak lebih berminat dengan barangan dia selalu lihat kita gunakan. Ingat mereka sebenarnya ingin belajar dan bereksperimen bukan sekadar bermain. Dia ingin merasai pengalaman membuat semuanya. Dia ingin mengetahui cara melakukan semua perkara.

3. Bermain bersama mereka akan mengubah suatu permainan yang membosankan menjadi sangat menarik. Anak sangat suka apa pun jenis permainan yang dimainkan bersama orang yang dia sayangi.

Anak yang dipenuhi kehendak perasaan ingin tahu mereka akan menjadi anak yang cepat matang. Anak yang cepat matang akan mudah menerima pelajaran. Anak yang mudah menerima pelajaran, akan sekaligus kurang merosakkan barangan dan kurang menyepahkan. Malah andai mereka diajar bertanggung jawab, mereka akan menjadi pembantu anda yang sangat baik.

Jadi, biarkan mereka bereksperimen. Biar kita susah sebentar, biar kita susah dalam usaha mereka untuk menjadi matang, biar kita susah sekarang, asalkan anak kita lebih cepat menjadi anak yang bijak dan akhirnya dapat menjadi pembantu, bukan lagi penyusah.

Sebab itu pepatah melayu mengatakan bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian. Anak yang dididik secara ambil mudah oleh kedua ibubapa, memanglah masa kecil mereka lebih mudah kita jaga (bukan didik), tetapi apabila sampai waktu besar, sangat menyusahkan kedua ibubapa, selalu memberontak, selalu mengamuk, tidak mendengar kata, bertindak kasar, dan sebagainya. Ataupun kita bersusah payah memerhatikan pelajaran-pelajaran mereka dengan perasaan redho dan cinta, membimbing mereka dengan lemah-lembut dan kasih sayang, agar mereka nantinya juga menjadi seorang yang lemah lembut dan penuh cinta juga, hasil dari pelajaran yang mereka dapatkan dari orang disekeliling mereka.

Wednesday, September 9, 2009

Berhikmah

Guna pendekatan hikmah dalam dakwah

Bekas Imam Masjid Negara, Datuk Kamarudin Zakaria (kiri) dan aktivis masyarakat, Datuk Zainal Abidin Sakom antara yang menyertai Konvensyen Pendakwah Negara di Hotel Grand Season, Kuala Lumpur.
Mungkinkah ada fakta sejarah kedatangan Islam ke negara ini yang perlu dikaji semula?
Ini kerana seperti yang didedahkan oleh pendakwah, Ann Wan Seng, yang mendapati kaum Cina Muslim dari Tanah Besar China adalah pendakwah yang sebenarnya paling berperanan membawa masuk Islam ke Tanah Melayu seawal abad ke 10 atau 11 Masihi lagi.
Katanya, jika Islam telah sampai ke negara China sejak 1400 tahun lalu, iaitu sebelum umat Islam berhijrah dari Mekah ke Madinah, tentunya kita boleh membuat satu andaian bahawa Islam kemudiannya tersebar ke Tanah Melayu melalui Tanah Besar Cina lebih awal berbanding pendakwah-pendakwah dari Tanah Arab yang didakwa yang mula-mula mengislamkan Tanah Melayu ini.
"Ditambah dengan banyak bahan sejarah termasuk catatan dan batu-batu bersurat yang menyokong kepada teori ini masih banyak belum dikaji.
"Namun saya yakin bahawa bangsa Cina mempunyai pengaruh yang cukup besar dan signifikan dalam soal dakwah dan penyebaran Islam berbanding hanya golongan yang baru memeluk Islam di negara ini.
"Jadi siapa sebenarnya yang mualaf di negara ini, anda atau saya? Anda fikirkanlah sendiri!," katanya sambil mengajuk pelawak Nabil yang mempopularkan tag line "Lu fikirlah sendiri!" itu.
Kata-kata akhirnya itu merupakan antara yang menjadikan Konvensyen Dakwah Negara (KPN) selama dua hari di Hotel Grand Season, Kuala Lumpur baru-baru ini begitu hangat dan menarik.
Konvensyen itu dihadiri oleh kira-kira 700 peserta terdiri daripada individu-individu pendakwah dan wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang selama ini komited melakukan pelbagai aktiviti dakwah di negara ini.
Wan Seng yang juga Setiausaha Agung Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) bercakap soal etika atau tata kerja pendakwah supaya mereka melaksanakan dakwah mereka dengan penuh hikmah.
Ini kerana pengalaman menunjukkan kebanyakan pendakwah menggunakan pendekatan mendakwa berbanding berdakwah itu sendiri.
Kualiti hidup
"Memburuk-burukkan cara hidup mereka yang walaupun mungkin ada kebenarannya menyebabkan sasaran dakwah itu akan lari.
"Malah menuduh mereka sebagai kafir juga kadang kala mempunyai konotasi yang dianggap sangat menghina mereka.
"Apa yang penting kita mesti tonjolkan kebaikan Islam itu sendiri. Jangan bimbang orang Cina merupakan bangsa yang mempunyai fikiran terbuka," katanya.
Beliau sebenarnya menjawab soalan dari pakar motivasi, Datuk Dr. Fadzillah Kamsah yang berhadapan dengan persoalan sesetengah kaum Cina di negara ini yang tidak dapat menerima Islam.
Ini kerana golongan berkenaan membandingkan kualiti hidup kalangan Melayu beragama Islam itu.
KPN adalah anjuran bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT).
Ia dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Jamil Khir Baharom dengan bertemakan 'Wahdah Pemangkin Khaira Ummah'.
Wakil Pertubuhan Dakwah yang terkenal dari Sarawak, Harakah Islamiah (HIKMAH) pula membangkitkan mengenai tindakan pantas lagi cekap pertubuhan dakwah bukan Islam menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa musibah dan kemalangan seperti yang berlaku baru-baru ini di Kuching.
Ini apabila kebakaran yang melibatkan sebuah perkampungan Melayu tetapi yang lebih awal datang menghulurkan bantuan kepada mangsa adalah pertubuhan bukan Islam.
Dalam hal ini, Wan Seng bersama dua lagi ahli panel forum di konvensyen itu, Nicholas Berry Sylvester Muhamad Abdullah dan Muhammad Fitri Abdullah tidak menafikan tawaran berbentuk wang dan bantuan dari pihak 'pesaing' ditambah dengan tindakan pantas dan cekap mereka sedikit sebanyak boleh menghalang usaha-usaha dakwah Islam.
Wan Seng mendedahkan, kini tidak sahaja pertubuhan gereja yang sering kali dianggap menggunakan tarikan wang dan bantuan malah kalangan pertubuhan Buddha turut mengambil pendekatan yang sama.
"Umpan seperti ini memang menjadi satu cabaran yang sangat getir tetapi saya percaya kebenaran akan mengatasi segala-galanya. Walaupun begitu kita juga mesti bersedia dari aspek yang sama, kerana telah ada peruntukan seperti asnaf zakat dan sebagainya yang boleh kita manfaatkan," katanya.
Wakil HIKMAH juga memberitahu bahawa, terdapat lebih 50 etnik kaum di seluruh Sarawak tetapi sehingga kini dakwah-dakwah Islam hanya dapat memasuki 1/3 sahaja dari kawasan-kawasan yang didiami etnik yang masih mempercayai pelbagai kepercayaan pagan atau animisme itu.
Ini kerana kos yang tinggi di samping diharapkan dengan adanya Radio Jakim iaitu Salam FM dapat dimanfaatkan dalam usaha dakwah. Lebih-lebih lagi jika ada slot yang ke udara menggunakan loghat atau bahasa daerah seperti Iban, Bajau dan sebagainya.
Turut dibangkitkan adalah pendekatan berdebat seperti yang dilakukan oleh pendakwah terkemuka Allahyarham Sheikh Ahmed Hussein Deedat terutama dengan pendukung-pendukung dakwah Kristian dapat diguna pakai dalam menjayakan misi dakwah Islam di negara ini.
Dalam hal ini, Nicholas berkata, pendekatan seperti itu dikira kurang sesuai sebagai satu uslub dakwah yang strategik. Sebabnya, bangsa-bangsa asing yang mendiami negara ini lazimnya lebih mudah didekati dengan cara yang sederhana atau lebih baik lagi menggunakan kaedah dakwah bil hal, iaitu dengan contoh.
"Dengan cara itu adalah lebih baik lagi berbanding kita berdebat bagi mengelakkan suasana yang tidak harmoni," katanya.
Terdapat juga peserta yang bertanyakan masalah yang dihadapi dalam berdakwah terutama terhadap bangsa Cina dan India di negara ini kerana usaha itu sering disalah faham oleh parti-parti politik yang mewakili kaum-kaum tersebut.
Berbanding jika usaha dakwah dilakukan terhadap penduduk atau kaum Asli di negara ini yang kurang risiko dari menerima tentangan dari mana-mana pihak.
Ini sebagaimana yang disuarakan oleh pendakwah wanita terkenal negara, Dr. Fatma Al Zahraa yang ingin mendapatkan kepastian sama ada umat Islam ini dibenarkan untuk mengajak kepada Islam kepada mereka yang bukan Islam di negara ini.
"Ini kerana saya dapati banyak pihak yang memberitahu kita tidak boleh berbuat demikian malah di kalangan umat Islam sendiri meminta saya supaya tidak secara terang-terangan berdakwah kepada bukan Islam kerana dari aspek undang-undang, usaha ini tidak dibenarkan.
"Benarkah begitu?" tanya Dr. Fatma.
Wan Seng bagaimanapun menjelaskan Perlembagaan Persekutuan negara tidak menghalang usaha-usaha dakwah dilakukan terhadap bukan Islam di negara ini.
Begitu juga dengan faktor politik, ia bukan menjadi alasan kepada umat Islam untuk mengehadkan usaha dakwah walaupun tidak dinafikan ia mungkin mempunyai risiko keselamatan yang tinggi.
"Tetapi adalah lebih penting usaha berterusan bagi menjelaskan mengenai Islam malah sebenarnya sudah ada pihak yang menaruh minat untuk mengenali Islam sehinggakan mereka mempelajari al-Quran dan cuba mengambil pengajaran dari kitab suci itu untuk dikongsi bersama dengan orang lain.
"Jadi, kita tidak boleh menghalang minat-minat yang besar terhadap Islam walaupun ia berbaur kepentingan politik," katanya.
Sementara itu, pendakwah yang mewakili kaum India, Muhammad Fitri dalam kertas kerjanya tidak menafikan usaha-usaha untuk menyebarkan Islam di kalangan bukan Islam menjadi semakin kompleks dan rumit pada hari ini.
"Namun jika para pendakwah mengenali agama dan adat budaya dan resam kumpulan sasaran, kita mendapati usaha yang mulia ini akan menjadi lebih mudah kerana saling memahami perbezaan yang ada mampu mewujudkan hubungan yang harmoni," jelasnya.
Melalui hubungan yang murni, kata Muhammad Fitri, sehingga ke peringkat umat Islam atau pendakwah Islam mengambil inisiatif menziarahi mana-mana penganut Hindu yang meninggal dunia sudah cukup menjadi satu daya tarikan untuk mereka melihat Islam itu sebagai agama yang sempurna dan indah!
"Jika penganut Hindu memahami dan mendalami agama mereka sendiri, mereka akan menyedari mereka sebenarnya telah salah faham terhadap agama mereka itu.
"Pada hakikatnya agama Hindu adalah antara agama yang terawal berbicara mengenai soal tauhid dan keesaan tuhan yang satu (Eka Tuam).
"Agama ini menjadi menyimpang kerana ia telah diubah mengikut cita rasa dan keperluan semasa," kata Muhammad Fitri.
Konvensyen ini pastinya membuka banyak lembaran baru dalam dunia dakwah tanah air. Sebabnya terdapat banyak input baru yang mampu menyuntik semangat kepada para pendakwah untuk tidak sahaja mengukuhkan Islam namun yang penting membetulkan pelbagai salah faham serta menghilangkan Islamphobia terutama di kalangan bukan Islam.
Namun seperti yang disuarakan oleh Pegawai Eksekutif Dewan Pemuda Masjid Malaysia, Mohd. Taqiuddin Abdullah, beliau mengharapkan agar di masa akan datang, pihak penganjur akan mengadakan sesi dialog bersama menteri yang berkenaan.
"Ini bagi membolehkan kita dapat berkongsi banyak perkara di samping menteri dan pihak-pihak yang berkaitan dapat lebih memahami dan menyelami masalah yang dihadapi oleh para pendakwah Islam di negara ini.
"Seterusnya mereka dapat memberikan jalan keluar atau bersama-sama untuk menyelesaikan sesuatu isu dan masalah yang berlaku," katanya.